Korea Selatan Tamatkan Hampir Semua Sekatan Covid-19
SEOUL, 11 Mei (Bernama-Yonhap) — Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol pada Khamis mengisytiharkan bahawa hampir semua sekatan COVID-19 ditamatkan termasuk pengasingan mandatori sekali gus menyaksikan negara ini beralih kepada fasa endemik.
Yoon semasa mesyuarat tindak balas COVID-19 berkata tempoh kuarantin mandatori tujuh hari untuk pesakit COVID-19 akan dikurangkan kepada lima hari, lapor Agensi Berita Yonhap.
Beliau berkata arahan pemakaian pelitup muka dalam bangunan juga akan ditarik balik kecuali di wad hospital dan tiada lagi ujian PCR sejurus ketibaan.
Langkah itu berkuat kuasa 1 Jun manakala tahap krisis COVID-19 akan diturunkan daripada “serius” kepada “berjaga-jaga.”
Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak itu bukan lagi “darurat kesihatan global.”
WHO isytihar covid-19 bukan lagi isu kecemasan kesihatan global
Terdahulu, kenyataan yang dikeluarkan media mewakili langkah besar ke arah untuk menamatkan wabak itu selepas tiga tahun ia pertama kali diisytiharkan sebagai tahap amaran tertinggi terhadap virus itu.
Pegawai berkata kadar kematian disebabkan virus itu telah menurun daripada melebihi 100,000 orang seminggu pada Januari 2021 kepada lebih 3,500 pada 24 April 2023.
Ketua WHO berkata sekurang-kurangnya seramai tujuh juta orang mati akibat penyebaran wabak itu.
Sumber: BERNAMA
BACA: Lelaki Dedah Realiti Awal Wabak Covid-19 Di Wuhan Dibebaskan
