PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) — Kerajaan Malaysia dan Singapura hari ini bersetuju menubuhkan satu Jawatankuasa Kerja Bersama berikutan penularan jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata jawatankuasa itu diterajui oleh timbalan menteri kesihatan kedua-dua negara.
Beliau berkata perkara itu dipersetujui dalam sesi perbincangan yang diadakan melalui persidangan video dua hala yang melibatkan rakan sejawatnya, Gan Kim Yong dan disertai pegawai kanan kementerian dari kedua-dua belah pihak.
“Objektif penubuhan jawatankuasa itu adalah bagi memperkukuhkan pelbagai usaha merentasi sempadan dan ia dipersetujui secara bersama.
“Para pegawai kanan dari Malaysia dan Singapura akan bekerjasama dan meneruskan perbincangan dalam masa terdekat bagi mengenal pasti rujukan Jawatankuasa Kerja Bersama,” katanya pada sidang media harian berhubung perkembangan terkini koronavirus, di sini.
Sumber: Bernama
