Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Koroner Beri Amaran Terhadap Penyiaran Eksibit Inkues Kematian Zara Qairina
KOTA KINABALU, 8 Sept (Bernama) — Mahkamah Koroner hari ini mengeluarkan amaran kepada orang awam supaya tidak berkongsi atau menyiarkan sebarang eksibit atau barang kes yang dikemukakan dalam inkues kematian pelajar tingkatan satu Zara Qairina Mahathir, menerusi media sosial.
Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan menyampaikan peringatan itu selepas menerima aduan berkenaan hal itu, sambil menegaskan bahawa tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai menghina mahkamah.
“Saya menerima aduan bahawa terdapat beberapa eksibit yang telah dibocorkan dan saya ingin mengingatkan semua pihak supaya tidak berkongsi perkara ini dengan sewenang-wenangnya. Pihak berkuasa boleh mengambil tindakan berhubung dengan perkara ini,” katanya.
Prosiding siasatan kematian remaja itu memasuki hari ketiga hari ini dengan mahkamah mendengar keterangan Nurul Atiqah Mohd Noh, 44, seorang pemeriksa dokumen di Bahagian Pemeriksaan Dokumen, Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya, Selangor.
Prosiding siasatan akan bersambung selepas rehat tengah hari.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai. Dia dimasukkan ke hospital berkenaan sehari sebelum setelah ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.
Pada 13 Ogos, Pejabat Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan pihak polis.
Pada 8 Ogos, AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
BACA: Inkues Zara Qairina: Biar Mahkamah Tentukan – Saksi
Sumber: BERNAMA