Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kos Projek Kota MADANI Ditanggung Pemaju Sepenuhnya, Tak Bazir Duit Rakyat

Azizah Najib
kos projek kota madani
Kredit: Bernama

Kos Projek Kota MADANI Ditanggung Pemaju Sepenuhnya, Tak Bazir Duit Rakyat

PUTRAJAYA, 25 Jun – Kos pembangunan Kota MADANI yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri pada Majlis Pecah Tanah esok akan ditanggung sepenuhnya oleh pemaju.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, projek ini tidak membabitkan perbelanjaan langsung kerajaan berikutan dilaksanakan menerusi kerjasama awam-swasta berasaskan konsep Build-Lease-Maintain-Transfer (BLMT) oleh Putrajaya Holdings.

“Kos pembangunan RM4 bilion ini ditanggung sepenuhnya oleh pemaju. Pemaju juga akan menanggung kos penyelenggaraan. Selepas 25 tahun, keseluruhan projek ini akan jadi milik Kerajaan,” maklum beliau menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasminya.

Menerusi kiriman di Facebook itu, Zaliha tampil membetulkan tanggapan salah terhadap projek tersebut dan menegaskan Kota MADANI bukan bertujuan menggantikan Putrajaya, sebaliknya merupakan kawasan pembangunan kecil dalam wilayah pentadbiran sedia ada.

BACA: Kota MADANI Bakal Dibangunkan Di Putrajaya, Selari Dengan Visi Bandar CHASE

Ujarnya, kawasan Kota MADANI hanya meliputi 102 ekar, bersamaan 0.8 peratus daripada keseluruhan keluasan Putrajaya, dan terletak di Presint 19.

Tambah beliau, pembinaan Kota MADANI adalah penting bagi menampung keperluan penempatan penjawat awam yang semakin meningkat.

Sebanyak 10,000 unit kuarters baharu akan disediakan. Setakat ini, lebih 17,000 permohonan kuarters masih belum dapat dipenuhi disebabkan kekurangan unit sedia ada.

Mengulas mengenai nama MADANI, Dr Zaliha menjelaskan bahawa ia bukan label politik tetapi merujuk kepada nilai-nilai kemanusiaan, keadilan, keseimbangan dan kelestarian.

Pembangunan Kota MADANI dilaksanakan sejajar dengan visi Bandar CHASE iaitu sebuah bandar bersih (clean), sihat (healthy), terkehadapan (advanced), selamat (safe) dan mesra alam (eco friendly).

Ciri-ciri pembangunan turut merangkumi elemen rendah karbon, jaringan hijau, mobiliti pintar dan penerapan teknologi terkini.

Dr Zaliha menegaskan bahawa penjawat awam berhak menikmati kemudahan perumahan yang baik dan Putrajaya perlu terus diperkukuh sebagai kota pentadbiran yang inklusif dan berwawasan.

Sumber: Dr Zaliha Mustafa

BACA: Pelajar UM Cipta KelantanLingo, Aplikasi Belajar Dialek Kelantan

BACA: Mahkamah Perintah Tanah Daripada Tun M, Tiga Lagi Dipindah Milik Kepada UMNO