Bagi kebanyakan individu bujang, melancong bukan sekadar peluang meneroka tempat baharu, malah mungkin menjadi ruang untuk bertemu insan istimewa.
Dan ini mungkin peluang bagi mereka yang suka melancong dan sedang mencari pasangan!
Finland, negara paling gembira di dunia, kini mengajak golongan bujang dari seluruh dunia menyertai acara makan malam istimewa pada Februari tahun hadapan.
Menerusi satu hantaran di Instagram @ourfinland, Finland menawarkan peluang untuk menikmati makanan tempatan, merasai suasana musim sejuk dan berkenalan dengan orang baharu.
Finland Jemput Golongan Bujang Datang Ke Negaranya

Menariknya, peserta juga berpeluang menyertai acara makan malam berkumpulan yang dikenali sebagai Finnish Dinner Date sambil menikmati pelbagai hidangan tempatan.
Lebih menarik, seramai 16 peserta terpilih bakal menerima percutian selama empat hari ke Finland dengan segala perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penganjur.
Sepanjang berada di sana, mereka akan mengikuti pelbagai aktiviti dan menikmati hidangan tempatan menerusi jadual perjalanan yang telah disediakan.
Acara makan malam istimewa itu pula akan berlangsung di kawasan Helsinki atau Lakeland sebagai kemuncak percutian berkenaan.
Daripada jumlah tersebut, lapan peserta akan dipilih untuk pengalaman kulinari di Helsinki manakala lapan lagi bakal menyertai acara di Tampere.
Setiap acara makan malam itu juga akan disertai dua individu bujang tempatan dari Finland, sekali gus memberi peluang kepada peserta mengenali lebih ramai kenalan baharu.
Percutian selama empat hari itu dijadualkan berlangsung antara 9 hingga 19 Februari 2027.
Mana tahu, selain dapat mencuba makanan baharu, anda mungkin juga bertemu seseorang yang berjaya mencuri perhatian sepanjang acara tersebut.
Bagi yang berminat, anda hanya perlu menghasilkan sebuah video ringkas dalam bahasa Inggeris untuk menjawab soalan daripada pihak penganjur.
Soalannya mudah sahaja, iaitu apakah hidangan yang akan anda sajikan ketika janji temu makan malam dan mengapa memilih hidangan tersebut?
Sebagai contoh, anda boleh mencadangkan pencuci mulut berasaskan buah beri kerana rasanya manis seperti diri sendiri, seperti dalam video promosi mereka.
Jika gemar memancing pula, anda boleh memilih hidangan ikan dan lebih menarik jika ikan tersebut merupakan hasil tangkapan sendiri.
Selepas selesai merakam video, anda perlu memuat naiknya ke Instagram, TikTok atau YouTube menggunakan tanda pagar #FinnishDinnerDate serta menandai akaun @ourfinland.
Seterusnya, lengkapkan borang permohonan menerusi laman web FinnishDinnerDate.com dan sertakan pautan video yang telah dimuat naik.
Tidak mahu berkongsi video secara terbuka? Anda juga boleh memuat naiknya ke YouTube menggunakan tetapan Unlisted supaya hanya individu yang mempunyai pautan boleh menontonnya.
Untuk makluman, permohonan akan ditutup pada 10 November 2026, jam 11.59 pagi mengikut waktu Finland (EET).

