Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

KPDN Sedia Pelbagai Inisiatif, Tingkatkan Penguatkuasaan Bantu Usahawan Digital

Syamimi

KPDN Sedia Pelbagai Inisiatif, Tingkatkan Penguatkuasaan Bantu Usahawan Digital

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu usahawan-usahawan digital berkembang melalui program seperti Program Pendigitalan Perniagaan 2025 (PPP25), yang bertujuan memperkasakan usahawan dalam pemanfaatan teknologi digital.

Timbalan Menteri KPDN, Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, KPDN juga menjalankan aktiviti pemantauan berterusan terhadap platform e-dagang, media sosial, dan laman web yang menjalankan urus niaga secara dalam talian bagi mengesan iklan palsu, tawaran mencurigakan, dan produk tiruan.

”Kita sedar para usahawan digital ini menghadapi pelbagai isu dan cabaran seperti barang ditiru secara terang-terangan dan dijual di platform e-dagang yang menyebabkan barang-barang tiruan yang berkualiti rendah membanjiri pasaran tempatan.

”Justeru, KPDN akan terus berperanan sebagai pelindung pengguna dan juga usahawan sah daripada pesaing yang tidak adil dengan mengambil tindakan di bawah beberapa akta, antaranya Akta Perlindungan Pengguna 1999 (APP 1999) – untuk kes penipuan yang melibatkan pengguna; Akta Syarikat 2016 – jika peniaga berdaftar menyalahgunakan perniagaan untuk tujuan penipuan; Akta Perihal Dagangan 2011 – jika penjual membuat pernyataan palsu tentang produk; dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 – untuk kes manipulasi harga secara tidak adil; serta Akta Cap Dagangan 2019 – manipulasi terhadap produk yang mana cap dagang dipakai dengan salah.

”KPDN turut bertindak memantau harga barangan dalam platform e-dagang supaya tidak berlaku manipulasi, di samping mengurus aduan melalui eAduan KPDN, yang boleh dibuat oleh pengguna dan juga peniaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan delegasi komuniti usahawan digital Malaysia yang diketuai oleh Syed Gaddafi Syed Saifuddin.

Pertemuan itu bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama serta membincangkan cabaran dan potensi usahawan digital dalam menyokong agenda ekonomi negara.

Antara perkara yang dibincangkan termasuklah isu-isu semasa yang dihadapi usahawan digital seperti mendapatkan perlindungan hak dan produk mereka, cabaran perdagangan rentas sempadan serta cadangan-cadangan untuk memperkasakan ekosistem digital tempatan.

Beliau menambah, hasil daripada sesi libat urus tersebut akan dijadikan input untuk menambahbaik ekosistem usahawan digital dengan cadangan penambahbaikan polisi dan mekanisme penguatkuasaan.

Tegasnya, matlamat utama KPDN adalah untuk memperkasakan usahawan khususnya yang terlibat dalam perniagaan online melalui khidmat nasihat dan pendaftaran cap dagang dan memberi perlindungan terhadap harta intelek usahawan.

”KPDN juga komited untuk membantu proses aduan sekiranya ada produk mereka ditiru kerana penguatkuasa mempunyai kuasa sehingga boleh menurunkan iklan barangan tiruan, dengan syarat pemilik produk tersebut sendiri perlu membuat aduan.

”Dalam masa sama, kita cuba membantu mempercepatkan proses pendaftaran cap dagang di MyIPO dalam tempoh masa empat bulan, selain sentiasa menjalankan advokasi pengguna dengan memberi kesedaran dan mendidik pengguna agar mengutamakan barangan buatan tempatan di samping mengelakkan membeli barang-barang tiruan.

”Akhirnya, kita ingin memastikan ada persaingan sihat dalam industri supaya pengguna mendapat produk dan perkhidmatan yang berkualiti, selamat, serta pada harga yang berpatutan,” tambahnya.

Sehingga 31 Julai 2025, anggaran bilangan usahawan atau penjual Malaysia yang menjalankan perniagaan melalui platform e-dagang utama seperti Shopee, Lazada dan Tik Tok Shop adalah sebanyak 4.65 juta, di mana 95% merupakan usahawan digital tempatan.