Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menyerbu sebuah kilang disyaki menggunakan logo halal tidak sah bagi tujuan perdagangan di Seri Kembangan, Selangor pagi tadi.
Pengarah KPDN Selangor Muhamad Hanif Asaari berkata serbuan bersama Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya pada 11.25 pagi itu turut menyita 31,140 sabun pencuci, 40,000 plastik pembungkusan serta beberapa dokumen disyaki menggunakan logo halal yang tidak diperakui dianggarkan bernilai RM215,700.
Beliau berkata dalam serbuan itu, seorang pengarah syarikat dan lima pekerja warga asing diperiksa bagi membantu siasatan sebelum diserahkan kepada JIM untuk tindakan lanjut.
“Operasi bersepadu ini dijalankan hasil maklumat awam yang diterima berhubung penggunaan logo halal yang tidak sah pada produk yang dibungkus oleh syarikat berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kilang itu memasarkan produk sabun pencuci secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal), Akta Perihal Dagangan 2011, iaitu di bawah subperenggan 8(b) Perintah yang sama.