Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meraikan kejayaan seramai 750 graduan TVET Pertanian menerusi Majlis Konvokesyen Pertanian Kali Ke-14 Tahun 2026 yang berlangsung di Bangi, baru-baru ini.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin.
Menurut KPKM, majlis itu menjadi simbol komitmen berterusan negara dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi bagi mendepani cabaran rantaian bekalan makanan global.
Konvokesyen tersebut diadakan bagi meraikan pelatih tahun 2025 yang berjaya menamatkan pengajian di Institut Latihan TVET Pertanian (ILTP) di bawah kementerian itu.
Daripada jumlah keseluruhan graduan, seramai 49 orang menerima Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), 312 graduan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), 350 graduan Sijil Pertanian, 28 graduan Sijil Veterinar Malaysia (SVM) dan 11 graduan Sijil Perikanan.
Majlis sama turut menyaksikan tujuh penerima Anugerah Khas Tahun 2026 yang diberikan atas pencapaian cemerlang sepanjang tempoh pengajian.
Para graduan tersebut mengikuti 10 bidang persijilan kemahiran termasuk tanaman, ternakan ruminan, ternakan poltri, teknologi perikanan tangkapan, akuakultur marin, akuakultur air tawar, pengeluaran padi, pemasaran, pemprosesan makanan serta penyenggaraan jentera pertanian.
Selain itu, tiga persijilan lain turut ditawarkan melalui jabatan di bawah KPKM iaitu Sijil Pertanian, Sijil Veterinar Malaysia dan Sijil Perikanan.
Kesemua program pengajian itu ditawarkan di 16 Institut Latihan TVET Pertanian di seluruh negara.
Dalam satu kenyataan, KPKM berkata sehingga kini kementerian itu telah berjaya melahirkan seramai 25,601 tenaga mahir dalam bidang pertanian.
Menurut kementerian itu, kualiti sistem latihan TVET pertanian turut dibuktikan melalui peningkatan kadar kebolehpasaran graduan kepada 81.23 peratus pada tahun 2024 berbanding 78.1 peratus pada tahun sebelumnya.
Dalam perkembangan sama, KPKM turut memaklumkan akan menganjurkan Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show 2026 (MAHA 2026) bermula 28 Ogos hingga 6 September tahun ini.
Penganjuran itu bertujuan menjadi platform utama memperkenalkan inovasi, teknologi terkini dan anjakan paradigma sektor agromakanan negara kepada masyarakat umum.
Foong Hin berkata, dalam mendepani Revolusi Industri 4.0, integrasi teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), mekanisasi dan automasi kini menjadi pemacu utama transformasi sektor pertanian.
Menurut beliau, pemerkasaan TVET pertanian amat penting bagi melahirkan graduan yang kompetitif, berdaya saing di peringkat global serta memiliki kepelbagaian kemahiran bagi memenuhi keperluan industri masa depan.
“KPKM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan syabas kepada seluruh graduan, keluarga, tenaga pengajar serta pihak pengurusan di bawah kementerian yang menjadi pemangkin utama kepada kelestarian industri pertanian dan keterjaminan makanan negara,” katanya.