Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KUALA LUMPUR, 24 JUN 2026 – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini melancarkan Kempen Kitar Semula Kebangsaan 2026 bertemakan “Daripada Sisa Kepada Sumber” di WOW Plaza, LaLaport Bukit Bintang City Centre, sebagai langkah strategik memperkukuh pelaksanaan Blueprint Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal (2025–2035).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming berkata kempen ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk mempercepatkan peralihan negara ke arah ekonomi kitaran yang lebih mampan dengan sasaran meningkatkan kadar pengalihan sisa daripada tapak pelupusan kepada 53 peratus menjelang tahun 2035.

“Ia juga bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan serta memastikan sumber yang masih mempunyai nilai ekonomi dapat dipulihkan, diproses dan dimanfaatkan semula.
“Dalam dunia yang berdepan ketidaktentuan rantaian bekalan global, sisa bukan lagi sesuatu yang perlu dibuang tetapi sumber yang perlu dipulihkan.
"Kitar semula bukan sekadar amalan hijau, malah merupakan strategi ekonomi negara bagi menjamin keselamatan sumber dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah import,” kata beliau.
Dalam pada itu, KPKT menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan memperhebatkan penguatkuasaan pengasingan sisa di punca (Separation at Source), khususnya di sektor komersial, industri dan institusi secara berperingkat.
Beliau berkata SWCorp juga akan melaporkan kemajuan pelaksanaan dan tindakan penguatkuasaan kepada KPKT secara berkala bagi memastikan usaha ini diperkasakan secara berterusan.
Pada awal bulan ini, KPKT telah bersetuju untuk untuk mewajibkan penyediaan Fasiliti Pengitaran Semula di semua pusat beli-belah sebagai salah satu syarat permohonan dan pembaharuan lesen premis perniagaan di bawah PBT secara berperingkat bagi memperkukuh pengurusan sisa pepejal, memperluas amalan ekonomi kitaran serta memudahkan orang ramai mengitar semula sisa buangan.

“Sementara proses pelaksanaan ini dilaksanakan, saya berharap agar pusat beli belah di seluruh negara dapat menggalakkan para penyewa makanan dan minuman untuk mengasingan sisa buangan dan menghantar bahan kitar semula ke Fasiliti Pengitaran Semula yang disediakan,” kata YB Tuan Nga Kor Ming.
KPKT menegaskan bahawa kejayaan agenda ekonomi kitaran tidak boleh dipikul oleh Kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan whole of nation yang melibatkan kerjasama erat antara kerajaan, industri, pengeluar produk, pengusaha pusat beli-belah, pengitar semula, institusi pendidikan, pertubuhan masyarakat dan seluruh rakyat Malaysia.
Bagi memastikan agenda nasional ini mencapai objektifnya, KPKT menyeru seluruh rakyat Malaysia membudayakan amalan Ekonomi Kitaran 9R iaitu menolak (Refuse), memikir semula (Rethink), mengurangkan (Reduce), mengguna semula (Reuse), membaiki (Repair), membaharui (Refurbish), mengilang semula (Remanufacture), menyesuaikan semula (Repurpose), mengitar semula (Recycle) dan memperoleh semula (Recover) bagi memastikan bahan yang dikitar semula adalah bersih, berkualiti dan mempunyai nilai pemulihan yang lebih tinggi.

Majlis turut menyaksikan pelancaran kiosk “Sort & Drop - Recycle the Cartons” hasil kerjasama strategik antara Tetra Pak, KPT Recycle dan LaLaport Bukit Bintang City Centre bagi memudahkan orang ramai mengasingkan dan mengitar semula kotak minuman terpakai.
Sebagai penghargaan terhadap komitmen pelbagai pihak dalam menjayakan agenda ekonomi kitaran negara, KPKT turut menyampaikan Sijil Penghargaan Khas kepada rakan-rakan strategik daripada sektor swasta, persatuan perniagaan, pengusaha pusat beli-belah, pengitar semula dan institusi pendidikan.