Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

KPM Beri Kerjasama Penuh Siasatan Kes Kematian Pelajar, Teliti Unsur Buli

KERJASAMA
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan kes kematian seorang pelajar di kediamannya baru-baru ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pada masa sama, KPM turut menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti setiap aspek berkaitan kejadian berkenaan, termasuk kemungkinan wujud unsur salah laku buli.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) akan menempatkan sementara beberapa individu yang terlibat sebagai saksi utama kes di pejabat pendidikan daerah sehingga proses siasatan selesai.

“Berita pemergian seorang anakanda kami di kediamannya baru-baru ini sangat mengejutkan. Kami berdukacita dan menyampaikan salam takziah kepada seluruh anggota keluarga,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Fadhlina berkata, keutamaan KPM ketika ini adalah memastikan bantuan terbaik dapat diberikan kepada keluarga mangsa serta warga sekolah yang terkesan susulan kejadian itu.

Katanya, program sokongan psikososial turut sedang dilaksanakan bagi membantu keluarga mangsa dan warga sekolah menghadapi situasi berkenaan.

Ujarnya, semua pihak turut diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu serta menghormati privasi keluarga sepanjang proses siasatan dijalankan.

Jelasnya, perkara itu penting bagi memastikan siasatan dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

“Semoga keluarga terus diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi ujian berat ini,” katanya.