Bukan sekadar terkenal dengan panorama indah dan landskap moden, pembangunan Wilayah Persekutuan itu sebenarnya lahir daripada sebuah visi berani yang kini menjadi sebahagian daripada legasi negara.
Perbadanan Putrajaya berkata, pembangunan bandar itu bermula apabila Prang Besar dipilih sebagai lokasi bagi menempatkan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang baharu sebelum namanya ditukarkan kepada Putrajaya.

Menurutnya, pemilihan kawasan berkenaan dibuat berdasarkan kedudukannya yang strategik di koridor pembangunan antara Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Bukan sekadar pemandangan indah, tetapi hasil daripada sebuah visi yang berani.
“Hari ini kita menikmati hasilnya, esok kita teruskan legasinya,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.
Perbadanan Putrajaya berkata, pada 20 Julai 1995, perjanjian penubuhan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor telah dimeterai.
Ujarnya, Perbadanan Putrajaya kemudian ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Putrajaya 1995 [Akta 536] yang mula berkuat kuasa pada 1 Mac 1996 bagi mentadbir serta menguruskan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Jelasnya, Putrajaya seterusnya diisytiharkan secara rasmi sebagai Wilayah Persekutuan ketiga selepas Kuala Lumpur dan Labuan pada 1 Februari 2001.
Menurut Perbadanan Putrajaya, perjalanan pembangunan bandar itu membuktikan bagaimana sebuah perancangan berwawasan mampu diterjemahkan menjadi pusat pentadbiran moden yang kini dinikmati rakyat.
Katanya, apa yang dibangunkan hari ini bukan hanya untuk generasi semasa, malah menjadi legasi yang akan diteruskan pada masa hadapan.

