Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

KPN Terima Kunjungan Hormat Duta Besar Korea

Polis Diraja Malaysia
Kredit: Facebook Polis Diraja Malaysia

KPN Terima Kunjungan Hormat Duta Besar Korea

Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail menerima kunjungan hormat Duta Besar Republik Korea ke Malaysia, Yeo Seung Bae di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, PDRM memaklumkan pertemuan tersebut menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan strategik yang telah lama terjalin antara PDRM dan Kedutaan Republik Korea.

Menurut kenyataan itu, kerjasama tersebut memberi fokus kepada aspek keselamatan, penguatkuasaan undang-undang serta hubungan antarabangsa antara kedua-dua negara.

“Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai usaha meningkatkan kerjasama dalam membanteras jenayah rentas sempadan termasuk penipuan dalam talian dan ancaman jenayah transnasional yang semakin kompleks,” menurut kenyataan itu.

PDRM berkata, perbincangan turut memberi tumpuan kepada pengukuhan jaringan kerjasama dalam menangani cabaran keselamatan semasa yang memerlukan tindakan bersama antara agensi penguatkuasaan kedua-dua negara.

Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan cadangan pelaksanaan program latihan bahasa Korea kepada pegawai PDRM.

Langkah tersebut dilihat mampu meningkatkan keupayaan komunikasi selain memperkukuh hubungan kerja antara agensi keselamatan Malaysia dan South Korea.

Turut disentuh dalam pertemuan itu ialah cadangan berkaitan pengiktirafan Permit Memandu Antarabangsa Republik Korea yang dijangka dapat memudahkan urusan perjalanan serta mobiliti rakyat kedua-dua negara.

Hadir sama dalam sesi kunjungan hormat tersebut ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, M. Kumar, Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Bukit Aman, Mohammad Shaharul Md Osman, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Bukit Aman, Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar, Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Mohd Mahidisham Ishak serta Setiausaha Polis Malaysia, Mohamad Noor Yusof Ali.

Turut serta dalam pertemuan itu ialah delegasi Kedutaan Republik Korea ke Malaysia bagi meneroka peluang kerjasama lebih luas dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang.