Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ku Li Sifatkan Naratif Baharu UMNO Jadi Pemangkin Kemenangan BN Johor

BN
Kredit: Facebook Tengku Razaleigh Hamzah

Ku Li Sifatkan Naratif Baharu UMNO Jadi Pemangkin Kemenangan BN Johor

Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai hasil daripada pembaharuan naratif dan pendekatan yang dibawa oleh kepimpinan UMNO Johor serta UMNO Malaysia.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, perubahan tersebut memberi nafas baharu kepada parti dan diyakini mampu mengembalikan keyakinan rakyat serta menyuntik semangat dalam kalangan ahli UMNO sendiri.

Katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, naratif baharu dan tatakerja yang diperkenalkan mampu menjadi titik permulaan kepada kebangkitan semula UMNO seperti yang pernah dilalui parti itu pada era kepimpinan terdahulu.

“Naratif baharu dan tatakerja UMNO Johor khususnya serta UMNO Malaysia secara amnya kini akan memberikan dorongan baharu, bukan sahaja kepada rakyat, bahkan diharapkan turut mendorong ahli UMNO sendiri untuk mengambil ketetapan bagi mengubah pendekatan dan cara mendampingi rakyat mulai sekarang.

“Saya juga amat yakin bahawa ini merupakan titik permulaan yang dapat mempamerkan kebolehan ahli muda kita untuk mengambil alih tampuk kepimpinan parti dan seterusnya negara apabila tiba masanya nanti.

“Nafas baharu yang ditiupkan ke dalam jasad UMNO sekarang mengingatkan saya kepada UMNO pada zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein,” katanya.

Dalam pada itu, Ku Li turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta barisan kepimpinan negeri yang menurutnya berjaya mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap UMNO dan BN.

Menurutnya, faktor kesihatan menyebabkan beliau tidak dapat turun berkempen bersama jentera parti sepanjang PRN berlangsung.

“Ternyata, ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan dalam tempoh singkat, tetapi usaha itu dilaksanakan setiap hari dan minggu sehingga berbulan-bulan serta bertahun-tahun bersama Bangsa Johor sejak diberikan mandat untuk berkhidmat di tempat bermulanya UMNO.

“Saya mengenali Onn Hafiz dengan lebih dekat apabila beliau dan pasukannya tampil secara sukarela untuk bersama-sama saya dalam pemilihan Presiden UMNO pada 2018.

“Sejak itu, saya dapat melihat betapa komited dan bersungguh-sungguhnya beliau bekerja bersama rakan-rakan di sekelilingnya. Ternyata, beliau membuktikan bahawa pendekatan itu merupakan formula kejayaan dalam Pilihan Raya Negeri kali ini,” ujarnya.

Beliau berkata, kemunculan barisan kepimpinan baharu yang berani membawa pembaharuan tanpa meninggalkan asas perjuangan parti merupakan perkembangan yang membanggakan.

Ku Li turut berpandangan kemenangan BN di Johor mampu menjadi pemangkin untuk meraih semula sokongan rakyat di negeri-negeri lain.

“Saya merasakan gelombang perubahan yang mengembalikan kepercayaan kepada UMNO kini perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menunjukkan kepada pengundi bahawa UMNO dan BN lebih progresif serta peka dalam menangani masalah harian yang dihadapi rakyat,” katanya.