Tak semua kucing jalanan bernasib baik, namun seekor kucing oren atau lebih mesra dipanggil ‘Oyen’ ini cukup bertuah apabila sering mendapat layanan istimewa daripada sebuah restoran mamak di Wangsa Maju.
Bukan sahaja tidak dihalau walaupun sering berada di kawasan restoran, malah kucing berkenaan turut diberikan makanan oleh pekerja kedai terbabit.
Perkara itu dikongsikan seorang pengguna Threads, Nur Ashikin Haji Mahadi, yang terharu melihat layanan diberikan kepada si bulus berkenaan di sebuah restoran mamak di Season Garden, Wangsa Maju.
Menurutnya, kucing tersebut kelihatan seperti sudah biasa berada di kawasan berkenaan dan bebas berehat tanpa diganggu oleh sesiapa.
“Syurga buat kedai mamak warna Biru Season Garden, Wangsa Maju. Siap bagi free ikan dekat kucing, tak halau pun.
“Go support this mamak plisss!” katanya dalam hantaran itu sambil memaklumkan restoran berkenaan dikenali sebagai Restoran Thawqa atau Taqwa.
Menerusi hantaran susulan, Nur Ashikin berkata, apa yang lebih menyentuh hatinya ialah makanan diberikan kepada kucing itu turut diletakkan di atas lapik.
“Plus, dia bagi makanan tu berlapik tau. Kucing tu duduk sana sikit pun dia tak halau. Terbaik dooh,” ujarnya.
Rupanya Sudah Lama Jadi ‘Penghuni’ Kawasan Itu
Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna dikenali sebagai dymariaa9496 berkata, kucing tersebut sebenarnya cukup dikenali di kawasan Season Garden.

Menurutnya, si bulus yang dikenali sebagai Fatimah itu sudah kira-kira setahun berada di hadapan sebuah pasar raya berhampiran.
“Ni paling famous kat Season Garden, nama dia Fatimah. Setahun dah berjasa depan Speedmart. Makan, tidur, makan tidur,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, haurameowctha, berkata sikap peniaga yang tidak berkira memberi makan kucing jalanan bukanlah sesuatu yang asing.
Menurutnya, terdapat sebuah restoran nasi kerabu di Sungai Besar yang turut menjaga beberapa ekor kucing di kawasan kedainya.
“Ada satu kedai nasi kerabu dekat Sungai Besar, Restoren Poknik seingat saya. Banyak kucing kedai dia, tak pernah nak marah atau halau. Dia bagi lagi lauk dekat meow-meow tu. Suka-suka,” ujarnya.
Namun, di sebalik perkongsian comel itu, seorang pengguna lain, ainanuarrrrr, turut berkongsi kisah menyentuh hati mengenai seekor kucing yang sering diberinya makanan setiap hari.

“Ni pun hari-hari makan wet food, biskut tak pernah kosong. Semalam kena langgar depan mata. Tengah terfikir macam mana nak pergi kerja hari-hari tanpa dia,” katanya.
Perkongsian itu nyata mencuri perhatian ramai yang memuji sikap prihatin pekerja restoran berkenaan terhadap haiwan jalanan.
Bagi pencinta haiwan, layanan kecil seperti menyediakan sedikit makanan dan tidak menghalau si bulus mungkin nampak biasa.
Namun, bagi seekor kucing jalanan, jelasnya, sedikit ihsan daripada manusia boleh menjadi ‘rumah’ dan sumber rezeki yang amat bermakna.

