Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Singapura Beri Sokongan Hingga RM79,500 Bagi Setiap Anak, Bantuan Berterusan Dari Lahir Hingga 17 Tahun

singapura
Kredit: AFP

Setiap anak warga Singapura bakal menerima sokongan kewangan kerajaan bernilai kira-kira S$70,000 (sekitar RM79,500) dari kelahiran hingga usia 17 tahun menerusi pakej bantuan baharu yang diumumkan kerajaan negara itu.

Menurut laporan The Straits Times, Pakej Bantuan Anak Singapura bernilai S$62,000 itu diumumkan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong ketika menyampaikan ucapan Rali Hari Kebangsaan pada 23 Ogos.

Beliau berkata, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk melakukan perubahan lebih menyeluruh dalam menyokong keluarga, bukan sekadar menambah baik skim bantuan sedia ada.

“Kami mahu menjadikan sistem ini lebih mudah. Setiap anak akan menerima tahap sokongan yang sama.

“Kami akan memberikan lebih banyak bantuan bukan sahaja ketika kelahiran, tetapi sepanjang anak-anak membesar,” katanya.

Menerusi pakej baharu itu, setiap bayi akan menerima S$10,000 (kira-kira RM11,360) sebagai hadiah kelahiran yang akan dibayar dalam dua peringkat dalam tempoh 12 bulan pertama.

Selain itu, anak-anak turut layak menerima S$32,000 dalam bentuk Bantuan Kredit Anak, iaitu pembayaran tunai sebanyak S$2,000 atau kira-kira RM2,270 setahun bermula ketika mereka berusia setahun sehingga 16 tahun.

Menurutnya, bantuan tahunan itu diberikan kepada semua anak tanpa mengira turutan kelahiran, sekali gus memudahkan sistem sokongan yang sebelum ini berbeza mengikut bilangan anak dalam sesebuah keluarga.

Pakej itu turut merangkumi geran permulaan S$5,000 untuk Akaun Pembangunan Kanak-Kanak (CDA) serta sumbangan padanan kerajaan sehingga S$5,000.

Tempoh penggunaan akaun CDA juga akan dilanjutkan sehingga penghujung tahun anak berusia 16 tahun, berbanding 12 tahun sebelum ini, jelasnya.

RM31,800 untuk pendidikan pada usia 17 tahun

Lebih menarik, apabila anak mencapai usia 17 tahun, kerajaan akan menambah S$10,000 atau kira-kira RM11,360 ke dalamAkaun Pendidikan Pasca Menengah (PSEA) bagi membantu menampung kos pendidikan selepas sekolah.

Dengan mengambil kira manfaat sedia ada seperti Geran MediSave untuk bayi baharu lahir serta sumbangan tahunan Edusave, setiap anak warga Singapura dijangka menerima bantuan langsung keseluruhan sekitar S$70,000 atau RM79,500 dari lahir hingga umur 17 tahun.

Wong berkata, kerajaan mahu memastikan bantuan kepada keluarga diberikan secara berterusan kerana keluarga merupakan asas penting kepada masa depan negara.

“Tiada institusi lain yang boleh menggantikan keluarga. Sebab itulah tiada perkara yang lebih penting daripada membantu keluarga berkembang maju,” ujarnya.

Setakat Jun lalu, lebih 610,000 kanak-kanak daripada kira-kira 380,000 isi rumah di Singapura dijangka mendapat manfaat daripada langkah baharu berkenaan.

Menurut Wong, kerajaan turut mengekalkan bantuan tambahan kepada keluarga besar yang mempunyai tiga orang anak atau lebih, terutama membabitkan kos penjagaan kesihatan, pengangkutan dan perumahan.

Kerajaan Singapura, katanya, kini sedang memperincikan beberapa langkah sokongan lain termasuk untuk warga emas, individu kurang upaya serta golongan bujang yang turut memainkan peranan menjaga ibu bapa atau menyara keluarga.

Intipati
  • Setiap anak warga Singapura dijangka menerima bantuan langsung sekitar S$70,000 hingga usia 17 tahun.
  • Pakej baharu merangkumi hadiah kelahiran S$10,000 dan Kredit Anak S$2,000 setahun.
  • Kerajaan turut mengekalkan bantuan tambahan untuk keluarga besar membabitkan kesihatan, pengangkutan dan perumahan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan