Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Nyanyi ‘Standing In The Eyes Of The World’ Iringi Peserta Terakhir, Semangat Petugas Di Menara Merdeka Buat Ramai Sebak

MERDEKA
Tangkap layar video Instagram

Bukan soal siapa yang tiba paling awal di garisan penamat, tetapi siapa yang tidak pernah berhenti melangkah.

Itulah yang dapat menggambarkan momen menyentuh hati apabila sekumpulan petugas sanggup menemani seorang peserta wanita yang menjadi antara peserta terakhir menamatkan cabaran The IHH Sky Race di Menara Merdeka Maybank, baru-baru ini.

Lebih mengharukan, kesemua petugas termasuk pasukan perubatan bersama-sama menyanyikan lagu Standing in the Eyes of the World nyanyian Ella bagi meniupkan semangat kepada wanita berkenaan untuk terus melangkah hingga ke penghujung perlumbaan.

Menerusi video yang tular di akaun Instagram @liren.ho, kelihatan peserta itu sedang mendaki anak tangga menuju ke tingkat 118 bangunan berkenaan selepas mengambil masa hampir tiga jam untuk tiba ke puncak.

Difahamkan, peserta wanita itu perlu menamatkan cabaran melibatkan sebanyak 2,845 anak tangga, dengan kira-kira 40 tingkat terakhir menjadi antara detik paling mencabar buatnya.

Tangkap layar video Instagram

Petugas Temani, Tak Putus Beri Semangat

Namun, wanita itu tidak dibiarkan berjuang sendirian.

Menurut pemilik akaun, Liren, para petugas sentiasa berada di sisi peserta berkenaan sambil memberikan kata-kata semangat tanpa mendesaknya untuk bergerak lebih pantas.

Malah, beberapa petugas dilihat menghalakan kipas ke arahnya bagi membantu melegakan kepenatan.

Pasukan perubatan turut menemani dan memantau keadaannya bagi memastikan wanita itu selamat sepanjang mengharungi baki perjalanan menuju ke tingkat 118.

Apa yang lebih mencuri perhatian, seorang petugas turut memimpin tangan peserta itu ketika dia meneruskan langkah demi langkah.

Walaupun sudah kelihatan mengah dan perlu bergerak perlahan, peserta berkenaan tetap enggan berputus asa.

Nyanyian Ella Jadi Pembakar Semangat

Suasana bertukar semakin meriah dan penuh emosi apabila petugas di sekelilingnya mula menyanyikan lagu Standing in the Eyes of the World, lagu tema rasmi Sukan Komanwel 1998.

Nyanyian itu jelasnya menjadi pembakar semangat kepada peserta wanita tersebut yang terus mendaki walaupun keletihan semakin dirasai.

Dengan sorakan, nyanyian dan sokongan tidak putus-putus daripada pasukan yang mengiringinya, wanita itu akhirnya berjaya tiba di puncak dan menamatkan perlumbaan yang telah dimulakannya.

Menurut Liren, kegigihan peserta itu untuk menghabiskan sebanyak 2,845 anak tangga adalah kerana dia benar-benar mahu menyelesaikan cabaran yang telah dimulakan.

“Selepas itu, dia mengambil masa untuk menikmati pemandangan Kuala Lumpur dari tingkat 118 sebagai ganjaran atas usaha kerasnya,” ujarnya.

Tangkap layar video Instagram

‘Kenapa Saya Menangis?’

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet turut tersentuh melihat semangat peserta berkenaan serta keprihatinan semua petugas yang tidak meninggalkannya sendirian.

Seorang pengguna, diyanamahadi, berkata dia sangat terharu melihat usaha semua pihak yang membantu wanita tersebut.

“Kakak yang mendaki, yang menemani sambil menyanyi, yang memberikan semangat dan yang memegang tangan kakak itu, saya tabik kepada semua. Sangat terharu melihatnya,” katanya.

Seorang lagi pengguna, @sopie_spotter, menyifatkan situasi itu sebagai penuh dengan aura positif.

“Semangat yang sangat positif. Syabas kepada semua dan tahniah kepada peserta itu. Inilah semangat Malaysia,” katanya.

Pengguna @fizasabjahan pula mengakui dirinya sebak selepas menyaksikan rakaman tersebut.

“Kenapa saya menangis? Tahniah kepada peserta itu dan seluruh pasukan,” ujarnya.

Sementara itu, @tehapakwan22 berkata, “Seronoknya apabila ada orang yang sentiasa memberikan sokongan.”

Seorang pengguna lain, @zhonghao_k, turut meninggalkan pesanan yang cukup bermakna.

“Tidak kira seberapa perlahan langkah anda, setiap kemajuan tetaplah satu kemajuan,” jelasnya.

Mungkin itu sebenarnya makna sebenar sebuah perlumbaan.

Bukan semua orang perlu tiba dahulu. Bukan semua langkah perlu pantas.

Kadangkala, selagi kita terus melangkah dan ada insan yang sudi memberikan sokongan, garisan penamat tetap boleh dicapai.

Sumber:liren.ho
Intipati
  • Seorang peserta wanita menjadi antara peserta terakhir menamatkan The IHH Sky Race.
  • Petugas dan pasukan perubatan mengiringi peserta itu hingga tingkat 118 Menara Merdeka Maybank.
  • Mereka menyanyikan Standing in the Eyes of the World bagi memberi semangat kepadanya.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan