Kulit seorang lelaki berusia 60 tahun di China dilapor bertukar kuning kerana tumor yang dihidapinya, dipercayai akibat amalan merokok dan minum minuman beralkohol buat sekian lama, lapor Daily Star.
Dia sebelum itu dikejarkan ke hospital selepas keadaan kesihatannya yang merosot. Pemeriksaan oleh doktor kemudiannya menemui dua tumor yang mana salah satunya berada di dalam pankreas.
Tumor berkenaan juga dilaporkan telah menyekat saluran hempudunya.
Lelaki berkenaan turut didiagnosi dengan masalah jaundis yang menyebabkan keadaan warna kulitnya bertukar menjadi kuning, seperti dalam gambar yang tular.
Menurut laporan Daily Star lagi, lelaki tersebut dikatakan seorang perokok tegar dan kaki minum untuk tempoh lebih 30 tahun.
Warna kulit lelaki berkenaan bagaimanapun beransur-ansur pulih selepas doktor berjaya membuat pembedahan mengeluarkan tumor tersebut.
Dia kemudiannya dibenarkan keluar dari hopsital dan bertekad untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.
Sumber: Daily Star