Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Sekumpulan Anak Muda Anjur '30 Hari 30 Masjid', Ride Demi Solat Subuh Berjemaah

30 Hari 30 Masjid
Kredit: iie_paanz
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Pelbagai usaha boleh dilakukan untuk mengajak anak muda mendekati masjid, termasuk menerusi aktiviti yang menggabungkan minat dan amalan harian.

Menariknya, sekumpulan remaja ini memilih untuk menjadikan aktiviti menunggang motosikal sebagai salah satu cara untuk mengimarahkan masjid.

Menerusi inisiatif '30 Hari 30 Masjid', mereka berusaha mengunjungi masjid yang berbeza setiap hari bagi menunaikan solat Subuh secara berjemaah.

Kini memasuki hari ke-28, program yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor itu semakin mendapat perhatian ramai.

Idea tercetus daripada dua rakan

Salah seorang peserta, Zarith Hakim, 16, berkata idea untuk mengunjungi 30 masjid sepanjang 30 hari itu tercetus daripada dua orang rakannya.

Pada awalnya, inisiatif berkenaan dirancang untuk dilaksanakan selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memandangkan salah seorang daripada mereka bakal menduduki peperiksaan besar tersebut.

Bagaimanapun, rancangan itu akhirnya diawalkan selepas mengambil kira tempoh pelaksanaan program yang tidak bertembung dengan peperiksaan berkenaan.

“Ikutkan 30 hari tu tak sampai waktu SPM jadi saya ajak mereka buat terus. Kami juga akan adakan siri kedua nanti selepas SPM,” katanya ketika ditemu bual Siakap Keli.

Menurut Zarith, perjalanan mereka pada hari pertama bermula di sekitar kawasan M3 Mall, Kuala Lumpur.

Setiap hari, mereka akan mengunjungi masjid yang berbeza dengan lokasi tumpuan hanya melibatkan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Ajak orang ramai sertai hari terakhir

Menjelang hari terakhir program pada Sabtu ini, mereka turut mengajak orang ramai untuk bersama-sama mengimarahkan Masjid Al-Syakirin, Gombak.

Program yang dijadualkan berlangsung dari pukul 4.30 pagi hingga 8 pagi itu akan dimulakan dengan qiamullail, diikuti solat Subuh berjemaah, tazkirah, majlis penghargaan '30 Hari 30 Masjid Subuh' serta sarapan santai.

Kredit: iie_paanz

Inisiatif sekumpulan anak muda ini wajar dipuji kerana membuktikan bahawa minat terhadap aktiviti motosikal juga boleh dijadikan medium untuk mengajak rakan sebaya mendekati masjid.

Malah, usaha mereka turut memberi gambaran bahawa generasi muda hari ini masih mempunyai semangat untuk mengimarahkan rumah Allah dengan cara tersendiri.

Semoga inisiatif seperti ini dapat diteruskan dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk mendekatkan diri dengan masjid serta menjadikan solat berjemaah sebagai sebahagian daripada rutin harian.

Intipati
  • Sekumpulan remaja menunggang motosikal ke masjid berbeza untuk solat Subuh berjemaah.
  • Inisiatif ‘30 Hari 30 Masjid’ dijalankan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
  • Hari terakhir program akan diadakan di Masjid Al-Syakirin, Gombak pada Sabtu ini.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan