Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kurma Paling Sedap Untuk Ramadan? Ini Ranking Yang Ramai Tak Tahu

Kurma Paling Sedap Untuk Ramadan? Ini Ranking Yang Ramai Tak Tahu
Gambar AI

Kurma Paling Sedap Untuk Ramadan? Ini Ranking Yang Ramai Tak Tahu

Setiap kali Ramadan menjelang, rak-rak pasar raya mula dipenuhi dengan pelbagai jenis kurma dari serata dunia. Ada yang kecil dan hitam pekat, ada yang besar dan berkilat keemasan. Namun dalam banyak-banyak pilihan itu, persoalannya tetap sama. Kurma mana sebenarnya paling sedap untuk dijadikan juadah berbuka?

Ada yang setia dengan Kurma Ajwa kerana nilai spiritualnya, ada pula yang memilih Kurma Medjool kerana teksturnya yang lembut dan mewah. Setiap orang mempunyai kegemaran tersendiri. Tetapi hakikatnya tidak semua tahu perbezaan sebenar antara setiap jenis kurma yang dijual di pasaran. Berdasarkan cita rasa pengguna di Malaysia, terdapat beberapa varieti yang konsisten menjadi pilihan utama saban tahun.

Sama ada kerana rasa, tekstur, tahap kemanisan mahupun faktor harga. Menariknya, ada juga jenis kurma yang kurang disebut-sebut tetapi sebenarnya sangat berbaloi untuk dicuba. Jadi sempena Ramadan kali ini, kami ingin kongsikan ranking kurma yang paling sedap dan paling diburu. Mungkin ada pilihan yang bakal menjadi kegemaran baharu anda.

1. Kurma Ajwa

Kurma Ajwa sering menjadi pilihan utama setiap kali Ramadan tiba. Khususnya dalam kalangan mereka yang menghargai nilai sejarah dan spiritual di sebalik sebiji buah kecil ini. Berasal dari Madinah, Arab Saudi, Ajwa mempunyai saiz yang lebih kecil dengan warna hitam pekat serta permukaan sedikit berkedut. Teksturnya lembut apabila digigit manakala rasanya sederhana manis dan tidak terlalu kuat.

Keistimewaan Ajwa bukan hanya terletak pada rasanya tetapi juga pada persepsi khasiatnya yang sering dikaitkan dengan manfaat kesihatan seperti membantu meningkatkan tenaga, menyokong kesihatan jantung dan membekalkan antioksidan. Walaupun harganya biasanya lebih tinggi berbanding jenis lain, ramai yang tetap memilihnya sebagai juadah berbuka kerana merasakan ia lebih istimewa dan penuh keberkatan.

2. Kurma Medjool

Bagi penggemar kurma bersaiz besar dengan isi yang tebal dan lembap pula, Medjool sering dianggap sebagai pilihan terbaik. Gelaran “Raja Kurma” bukan diberi tanpa sebab. Saiznya yang besar, tekstur yang sangat lembut serta rasa manis yang kaya seakan karamel semula jadi menjadikannya antara varieti paling premium di pasaran.

Setiap gigitan Medjool terasa penuh dan memuaskan. Ianya seolah-olah menikmati pencuci mulut eksklusif tanpa tambahan gula. Tidak hairanlah ia sering dijadikan buah tangan atau hadiah korporat menjelang Ramadan. Selain dimakan begitu sahaja, Medjool juga sesuai dipadankan dengan kekacang atau dijadikan bahan dalam pencuci mulut moden seperti energy ball dan smoothie sihat.

3. Kurma Sukkari

Manakala Kurma Sukkari pula terkenal dengan warna coklat cerah dan tahap kemanisan yang lebih tinggi berbanding kebanyakan jenis lain. Namanya sendiri membawa maksud “gula”. Ia menggambarkan profil rasanya yang sangat manis dan memikat. Teksturnya lembut dan sedikit berkrim terutama bagi varieti segar seperti Sukkari Rutab yang masih berada dalam keadaan lebih lembap.

Apabila dimakan, ia seolah-olah mencair di dalam mulut dan meninggalkan rasa manis yang menyenangkan. Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan kurma, Sukkari sering menjadi pilihan pertama kerana rasanya yang mudah diterima. Namun, disebabkan kemanisannya yang tinggi, ia lebih sesuai dinikmati dalam kuantiti yang sederhana. Terutamanya bagi individu yang memantau pengambilan gula.

4. Kurma Safawi

Selain itu, kuma Safawi juga merupakan satu lagi varieti dari Madinah yang mendapat sambutan hangat di Malaysia. Berwarna hitam gelap dengan bentuk bujur yang lebih panjang, kurma ini mempunyai isi yang lebih padat dan sedikit kenyal. Rasanya manis tetapi tidak keterlaluan, menjadikannya sesuai untuk mereka yang mahukan keseimbangan antara rasa dan tekstur.

Disebabkan isinya yang lebih pejal, Safawi memberi rasa kenyang yang lebih lama. Ini menjadikannya pilihan ideal untuk sahur atau sebagai snek berkhasiat sepanjang malam Ramadan. Ramai juga yang menggemari Safawi kerana harganya yang biasanya lebih berpatutan berbanding Ajwa namun tetap menawarkan kualiti rasa yang baik.

5. Kurma Mariami

Kurma Mariami yang juga dikenali sebagai Piarom berasal dari Iran dan semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna Malaysia. Warnanya coklat gelap dengan tekstur yang sedikit kering dan kurang lembap berbanding Medjool atau Sukkari. Tahap kemanisannya yang lebih sederhana membuatkan ia lebih ideal untuk mereka yang ingin mengehadkan pengambilan gula setiap hari.

Walaupun kurang manis, Mariami tetap menawarkan rasa yang kaya dan memuaskan. Teksturnya yang agak kering juga menjadikannya mudah disimpan dalam tempoh yang lebih lama tanpa cepat rosak. Bagi individu yang mengamalkan gaya hidup sihat atau diet seimbang, Mariami sering menjadi pilihan yang praktikal dan bijak.

6. Kurma Deglet Nour

Lebih dikenali sebagai kurma tangkai di pasaran tempatan, Deglet Nour sering menjadi pilihan ramai kerana harganya yang lebih mesra bajet. Ia biasanya dijual bersama tangkai yang memberikan penampilan tradisional yang menarik dan autentik.

Teksturnya sederhana lembut dengan rasa manis yang ringan. Walaupun tidak semewah Medjool atau seistimewa Ajwa, Deglet Nour sangat sesuai untuk kegunaan harian sepanjang Ramadan. Ia sering digunakan dalam penyediaan kuih-muih, bubur manis, kek kurma dan pelbagai resipi moden kerana rasanya yang tidak terlalu dominan.

7. Kurma Zahidi

Di samping itu juga, kurma Zahidi pula mudah dikenali melalui warnanya yang kekuningan keemasan serta teksturnya yang lebih kering. Rasanya yang lebih lembut dan tidak terlalu manis sesuai dinikmati oleh individu yang lebih peka dalam mengawal pengambilan gula harian.

Disebabkan sifatnya yang lebih kering, Zahidi mempunyai jangka hayat simpanan yang lebih panjang. Selain itu, ia juga sesuai digunakan dalam masakan kerana teksturnya yang tidak terlalu lembik dan memudahkan proses pemotongan dan pencampuran dalam hidangan.

Secara keseluruhannya, kurma dari Arab Saudi seperti Ajwa, Safawi dan Sukkari sering mencatatkan permintaan tertinggi di Malaysia terutamanya menjelang Ramadan. Namun begitu, pilihan terbaik sebenarnya bergantung kepada cita rasa peribadi, bajet serta keperluan kesihatan masing-masing.

Ramadan bukan sekadar tentang menikmati rasa manis ketika berbuka, tetapi juga tentang menghargai nikmat sederhana yang membawa makna besar. Sama ada anda memilih Ajwa yang sarat nilai spiritual, Medjool yang mewah atau Mariami yang lebih seimbang, setiap jenis kurma mempunyai keunikan tersendiri yang mampu melengkapkan momen berbuka bersama keluarga.

Akhirnya, sebiji kurma yang dinikmati dengan penuh kesyukuran bukan sahaja mengembalikan tenaga selepas seharian berpuasa malah mengingatkan kita bahawa dalam kesederhanaan, tersimpan nikmat yang luar biasa.