Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Jadi Trend Tempat Tidur Kucing, Labu Musim Sejuk Laku Keras Di China
Siapa sangka sebiji labu musim sejuk (winter melon) yang biasanya digunakan dalam masakan kini bertukar menjadi 'aksesori' kegemaran haiwan peliharaan di China.
Fenomena unik itu bukan sahaja mencuri perhatian pengguna media sosial, malah turut menyebabkan permintaan terhadap sayur berkenaan meningkat secara mendadak.
Menurut laporan Pubity, trend tersebut tercetus ketika gelombang haba melanda beberapa kawasan di China apabila pemilik kucing dan anjing mendapati winter melon mampu kekal sejuk secara semula jadi untuk tempoh yang lama.
Keadaan itu berlaku kerana winter melon mengandungi hampir 95 peratus air, sekali gus menjadikannya tempat berehat yang selesa untuk haiwan peliharaan mengurangkan rasa panas.
Fenomena itu mula tular di platform media sosial Xiaohongshu apabila ribuan pemilik haiwan berkongsi gambar dan video kucing mereka tidur sambil memeluk atau berbaring di atas winter melon.
Menurut laporan itu, perkongsian berkenaan meraih jutaan tontonan sebelum trend tersebut merebak kepada pemilik haiwan lain termasuk anjing.
Jadi trend tempat tidur kucing, la
Malah, seekor harimau bernama Hong Tang di Zoo Shanghai turut diberikan winter melon sebagai cara semula jadi untuk membantu menyejukkan badannya ketika cuaca panas.
Trend berkenaan turut memberi kesan kepada pasaran apabila beberapa rangkaian peruncit seperti Hema (Freshippo) dan Dingdong Maicai mula menjual winter melon bersaiz kecil yang dipasarkan khas sebagai "penyejuk haiwan peliharaan".
Menurut Pubity, bekalan di beberapa lokasi mula kehabisan stok apabila permintaan meningkat dengan mendadak.
Sementara itu, media tempatan melaporkan jualan mini winter melon di Dingdong Maicai meningkat 59 peratus berbanding minggu sebelumnya selepas dipromosikan sebagai produk mesra haiwan peliharaan.
Freshippo pula menggunakan gambar kucing memeluk winter melon sebagai bahan promosi utama sehingga menyaksikan jualan mini winter melon meningkat 77 peratus, manakala jualan keseluruhan winter melon naik 35 peratus.
Dari sudut sains, winter melon mampu mengekalkan suhu yang rendah lebih lama kerana kandungan airnya yang tinggi serta kadar pengaliran haba yang perlahan. Ciri itu menjadikannya sejuk apabila disentuh tanpa memerlukan elektrik atau bahan penyejuk tambahan.
Fenomena itu sekali lagi membuktikan bahawa idea paling ringkas kadangkala mampu menjadi penyelesaian kreatif, malah dalam kes ini, sebiji sayur berjaya mencuri hati jutaan pencinta haiwan di seluruh China.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan