Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kalau selalunya rumah sukan hanya dihiasi dengan kain rentang dan belon, lain pula kisah di sebuah sekolah apabila tema stesen minyak bersaiz hampir sebenar lengkap dengan replika pam minyak, Kedai Mesra dan kereta Formula 1 berjaya mencuri perhatian ramai di media sosial.
Menerusi satu hantaran video di TikTok oleh pengguna @Elzahra TTshop, suasana rumah sukan hijau dipaparkan dengan konsep menyerupai stesen minyak Petronas yang dibina menggunakan pelbagai bahan termasuk papan lapis (plywood).

Mengulas mengenai dekorasi berkenaan, Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Felda Jengka 19, Nur Aisyah Rosli berkata, keseluruhan konsep dan hiasan rumah sukan itu diusahakan oleh ibu bapa.
"Acara ini 100 peratus kami serahkan kepada ibu bapa. Saya nak 'claim' siap-siap sebab kesian cikgu nanti kena kecam. Cikgu memang fokus pada acara sukan sahaja," katanya ketika dihubungi Siakap Keli.
Dalam video berkenaan, pengunjung turut dibawa melihat pelbagai sudut menarik seperti replika pam minyak, Kedai Mesra, ruang informasi mengenai Petronas serta hiasan yang dihasilkan dengan begitu teliti sehingga mendapat pujian ramai.
Menurut perkongsian itu, rumah sukan berkenaan dihias bersempena temasya olahraga tahunan sekolah dengan tema stesen minyak, sekali gus memberikan pengalaman berbeza kepada murid dan pengunjung.

Malah, dalam satu lagi hantaran berasingan, sebuah lagi rumah sukan berwarna kuning turut dihias dengan konsep menyerupai stesen minyak Shell, menjadikan persaingan kreativiti antara rumah sukan lebih meriah dan unik.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen kagum dengan usaha guru, ibu bapa dan warga sekolah yang berganding bahu menghasilkan dekorasi berkenaan.
“Siapa buat model F1 tu? The details zassssss... menyalaaa,” kata pengguna TikTok @nea.
Seorang lagi pengguna, @Ijad_Zan-87, berkata hasil dekorasi itu terlalu kreatif sehingga wajar dikekalkan sebagai hiasan tetap di kawasan sekolah.
“Kreatif... jangan buang. Hias balik letak dekat laman sekolah tu,” ujarnya.
Seorang lagi pengguna TikTok turut memuji komitmen ibu bapa setiap rumah sukan yang disifatkan berjaya menghasilkan idea di luar jangkaan.
“Kreatif betul ibu bapa rumah sukan masing-masing, mind blowing,” tulisnya.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan