Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Perodua mengumumkan semakan harga bagi model Axia dengan penurunan sehingga RM4,700, sekali gus menjadikan kereta kompak paling mampu milik keluaran syarikat itu lebih mudah dimiliki rakyat Malaysia.
Semakan harga yang berkuat kuasa serta-merta itu dibuat susulan peningkatan kecekapan operasi syarikat, membolehkan penjimatan kos disalurkan terus kepada pelanggan dalam usaha membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat untuk menawarkan nilai yang lebih baik kepada pengguna.
“Peningkatan kecekapan operasi bukan sahaja membolehkan kami menyemak semula harga jualan Axia, malah turut mengurangkan kos penyelenggaraan serta harga pakej QV-E dan Battery as a Service (BaaS),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Bagi Semenanjung Malaysia, varian Axia 1.0G menerima pengurangan harga terbesar sebanyak RM4,700, daripada RM38,600 kepada RM33,900.
Menurut beliau, Axia 1.0X kini ditawarkan pada harga RM38,500 berbanding RM40,000 sebelum ini, manakala Axia 1.0SE dijual pada RM43,000 berbanding RM44,000. Varian tertinggi Axia 1.0AV pula kini berharga RM49,000, iaitu pengurangan sebanyak RM500.
Di Sabah dan Sarawak, Axia 1.0G kini dijual pada harga RM35,900 berbanding RM40,600 sebelum ini.
Varian 1.0X pula ditawarkan pada RM40,500, diikuti 1.0SE pada RM45,000 dan 1.0AV pada RM51,000. Semua harga yang diumumkan adalah tidak termasuk insurans.
Zainal Abidin berkata, pengurangan harga itu dicapai sepenuhnya menerusi penambahbaikan proses kerja dan peningkatan kecekapan operasi tanpa menjejaskan spesifikasi serta tahap kualiti model Axia.
Ujarnya, inisiatif tersebut turut disokong oleh kerjasama erat pembekal tempatan dan rakan strategik dalam ekosistem automotif negara yang sentiasa berusaha meningkatkan kecekapan kos.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rangkaian vendor dan pengedar Perodua atas komitmen mereka dalam menjayakan usaha tersebut sehingga manfaatnya dapat dinikmati oleh industri serta pengguna.
Menurutnya, sebagai model paling mampu milik dalam barisan kenderaan Perodua, Axia terus memainkan peranan penting sebagai pilihan pengangkutan harian rakyat Malaysia.
Katanya, penurunan harga itu dijangka membolehkan lebih ramai pembeli memiliki model berkenaan.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai harga baharu atau membuat tempahan boleh mengunjungi mana-mana bilik pameran Perodua atau menghubungi penasihat jualan sah Perodua berhampiran.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan