Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Legenda Pendaki Nirmal Purja Disahkan Maut Dalam Runtuhan Salji Broad Peak

BROAD
Nirmal Purja

Legenda Pendaki Nirmal Purja Disahkan Maut Dalam Runtuhan Salji Broad Peak

Nama Nirmal Purja bukan asing dalam dunia pendakian ekstrem. Pendaki kelahiran Nepal yang pernah mencipta sejarah menawan kesemua 14 gunung melebihi 8,000 meter (m) dalam tempoh hanya 189 hari itu disahkan maut selepas terlibat dalam kejadian runtuhan salji di Broad Peak, Pakistan.

Menurut laporan BBC, mayat Purja yang berusia 43 tahun ditemukan pada ketinggian kira-kira 5,700m di Broad Peak, manakala tiga lagi mayat turut dikesan di lokasi berkenaan, namun identiti mereka masih belum disahkan.

Terdahulu, syarikat miliknya, Elite Expeditions mengesahkan Purja merupakan antara 10 pendaki yang terkorban dalam tragedi runtuhan salji yang berlaku di gunung setinggi 8,047m itu.

Purja, atau lebih dikenali sebagai 'Nims', dilahirkan di Nepal sebelum menyertai Tentera British dan berkhidmat selama 16 tahun termasuk sedekad bersama pasukan elit khas.

Beliau mula mendapat perhatian dunia pada 2019 apabila berjaya menawan kesemua 14 gunung berketinggian lebih 8,000m dalam masa hanya 189 hari, sekali gus memecahkan rekod dunia terdahulu dengan perbezaan lebih tujuh tahun.

Kejayaan luar biasa itu kemudiannya didokumentasikan menerusi filem Netflix 14 Peaks: Nothing Is Impossible yang diterbitkan pada 2021, sekali gus memperkenalkan kisahnya kepada jutaan penonton di seluruh dunia.

Pada tahun sama, Purja berkata pencapaian itu membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil jika disertai dengan keazaman, keyakinan diri dan sikap positif.

Menurut BBC, Purja juga merupakan pendaki Gurkha pertama berjaya menawan Gunung Everest ketika masih berkhidmat dalam Tentera British.

Beliau turut dianugerahkan Member of the Order of the British Empire (MBE) oleh mendiang Ratu Elizabeth II pada 2018 atas sumbangannya dalam bidang pendakian altitud tinggi.

Dalam hantaran terakhirnya di platform X beberapa hari sebelum kejadian, Purja memaklumkan pendakian Broad Peak sebenarnya tidak termasuk dalam perancangannya.

Ujarnya, beliau pada asalnya hanya bercadang mendaki Gasherbrum II (G2), namun mengambil peluang untuk turut menawan Broad Peak bagi melengkapkan misi menjadi individu pertama dalam sejarah yang berjaya mendaki kesemua 14 gunung melebihi 8,000m sebanyak dua kali tanpa bantuan oksigen.

“Broad Peak, saya tidak meminta apa-apa selain perjalanan yang selamat naik dan turun. Saya tidak pernah memandang ringan mana-mana gunung,” tulisnya.

Sementara itu, Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah berkata, pemergian Purja bersama beberapa lagi pendaki lain mengejutkan negara itu.

Menurut beliau, keberanian, dedikasi dan sumbangan Purja dalam dunia pendakian akan terus menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.

Putera Wales, Putera William turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Purja, sambil menyifatkannya sebagai seorang bekas anggota tentera yang berkhidmat dengan cemerlang sebelum muncul antara pendaki gunung terhebat dunia.

Untuk rekod, Broad Peak yang terletak di banjaran Karakoram merupakan gunung ke-12 tertinggi di dunia dan dikenali sebagai antara puncak paling mencabar untuk didaki.

Sejak pendakian pertama yang berjaya pada 1957, puluhan pendaki dilaporkan terkorban ketika cuba menawan puncak berkenaan.

Menurut laporan BBC, tahun 2013 merekodkan antara insiden paling tragis apabila sekurang-kurangnya enam pendaki maut di gunung tersebut.

Sumber:BBC
Intipati
  • Nirmal Purja disahkan maut selepas runtuhan salji di Broad Peak, Pakistan.
  • BBC melaporkan mayatnya ditemukan pada ketinggian kira-kira 5,700 meter.
  • Purja terkenal selepas menawan 14 gunung melebihi 8,000 meter dalam 189 hari.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan