Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Selepas sedekad membina nama dan sinonim sebagai vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat (Khairul Azmi Muhammad Saat) kini melangkah setapak lagi dalam kembara seninya.
Azmi, 38, hadir dengan semangat baharu untuk mengukuhkan jenamanya secara solo menerusi buah tangan terkininya berjudul "SATU." Lagu ini bukan sahaja satu percubaan, malah satu kenyataan (statement) bahawa anak kelahiran Mersing, Johor ini mampu berdiri teguh sebagai penyanyi solo yang versatil.
Bakal dilancarkan pada Februari ini, "SATU" merupakan hasil ciptaan komposer dan penyanyi terkenal, Naqiu, dengan sentuhan lirik puitis oleh Wit Mohsen. Bergenre balada dengan konsep ketuhanan, karya ini disifatkan sebagai cerminan jiwa Azmi yang semakin matang.

Menurut Azmi, melodi lagu ini berjaya menyentuh hatinya sejak kali pertama mendengarnya tiga tahun lalu.
“Lagu ini sebenarnya sudah diberikan kepada saya tiga tahun lepas oleh Naqiu. Kami pernah bekerjasama ketika menjadi pasangan duet di pentas Gegar Vaganza sebelum ini. Tiba-tiba Naqiu datang dan memperdengarkan satu melodi yang terus membuatkan saya ‘jatuh cinta’ pandang pertama.
“Melodi dan liriknya sangat dekat dengan jiwa saya yang sememangnya menggemari tema ketuhanan. Ia berkisar tentang cinta agung seorang hamba kepada Sang Pencipta. Tanpa berfikir panjang, saya terus bersetuju menerima pelawaan Naqiu untuk merakamkan naskhah ini,” jelas Azmi.
Azmi turut berkongsi bahawa proses rakaman tertangguh beberapa kali disebabkan komitmen jadual Naqiu yang padat. Namun, beliau percaya setiap penangguhan itu ada hikmah tersendiri.
“Walaupun sudah lama ‘diperam’, akhirnya ‘SATU’ berjaya direalisasikan pada waktu yang paling tepat. Lebih istimewa, lagu ini telah dipilih sebagai runut bunyi (OST) utama bagi drama rantaian 60 episod yang bakal ditayangkan di Astro Prima sepanjang bulan Ramadan ini,” tambahnya.
Lagu "SATU" diterbitkan oleh Sony Music Malaysia dan bakal menemui peminat di semua platform digital bermula 30 Januari 2026.
Butiran Lagu:
Tajuk: SATU
Artis: Azmi Saat
Komposer: Naqiu
Penulis Lirik: Wit Mohsen
Sebarang pertanyaan lanjut, promosi dan temu bual, sila hubungi Jabatan Domestik Sony Music Entertainment Malaysia:
Veea Norman | +6 013 203 2130 | [email protected]
Fitrah Ilahi | +6 013 200 0813 | [email protected]