Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pemain Paraguay, Miguel Almiron mencipta sejarah yang tidak diingini dalam bola sepak selepas menjadi pemain pertama yang dilayangkan kad merah kerana menutup mulut ketika berlaku konfrontasi di atas padang, di bawah peraturan baharu FIFA.
Bekas pemain Newcastle itu diarahkan keluar padang ketika masa kecederaan separuh masa pertama selepas menutup mulutnya.
Almiron kelihatan mengeluarkan kata-kata kepada pemain Turkiye, Mert Muldur, dalam aksi Kumpulan D Piala Dunia antara kedua-dua pasukan di Santa Clara, California.
Paraguay ketika itu sedang mendahului 1-0 sebelum Almiron dibuang padang susulan semakan VAR, lapor AFP.

FIFA pada April lalu mengumumkan bahawa pemain yang menutup mulut ketika berkonfrontasi dengan pihak lawan akan dikenakan kad merah.
Inisiatif yang diperkenalkan pada Piala Dunia itu merupakan sebahagian daripada usaha lebih besar FIFA untuk memerangi perkauman.
Peraturan baharu itu diperkenalkan susulan kontroversi awal tahun ini apabila pemain sayap Benfica, Gianluca Prestianni, dituduh mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap bintang Real Madrid, Vinicius Junior, dalam aksi Liga Juara-Juara pada Februari.
Prestianni menafikan dakwaan menghina Vinicius secara perkauman, namun kemudiannya digantung enam perlawanan, dengan tiga daripadanya ditangguhkan.
Presiden FIFA, Gianni Infantino merupakan antara penyokong kuat peraturan baharu tersebut.
“Jika anda tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan, anda tidak akan menutup mulut ketika berkata sesuatu. Itu sahaja, semudah itu,” kata Infantino pada Mac.
Dalam pada itu, Almiron dilihat sugul ketika keluar dari padang.
Manakala, peminat bola sepak memberikan pelbagai reaksi berhubung insiden itu. Ada yang bersetuju dan ada juga yang tidak faham dengan peraturan baharu tersebut.