Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

“Piala Dunia Qatar Yang Terakhir,” Messi Tidak Beraksi Di Piala Dunia 2026
BUENOS AIRES — Bintang Argentina, Lionel Messi semalam mengumumkan bahawa dia tidak merancang untuk bermain pada Piala Dunia 2026 nanti, lapor ESPN.
Menurut laporan berita, Efe, kapten Argentina itu memberitahu Piala Dunia di Qatar adalah yang terakhir untuk dirinya.
“Saya rasa tidak. Piala Dunia Qatar merupakan yang terakhir bagi saya. Saya akan lihat bagaimana keadaannya, namun buat masa sekarang saya tidak akan sertai Piala Dunia seterusnya,” katanya kepada saluran sukan China, Titan Sports.
Meskipun kata-kata sama diucapkan Messi berhubung perkara itu, jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, rakan sepasukan dan peminatnya berharap pemain itu dapat beraksi di Piala Dunia 2026 nanti.

Perlawanan Persahabatan Menentang Australia & Indonesia
Pemenang Ballon d’Or tujuh kali itu kini bersama kem Argentina di China bagi perlawanan persahabatan menentang Australia pada Khamis ini. Manakala empat hari kemudian, juara Piala Dunia 2022 itu bakal turun menentang Indonesia.
Piala Dunia Qatar 2022

Tampil dalam Piala Dunia kelimanya, Messi, 36, berjaya membawa skuad itu menjuarai Piala Dunia 2022 di Qatar baru-baru ini. Bekas pemain sayap kanan Barcelona itu menjadi watak penting dalam kejohanan berprestij bola sepak.
Dia menjaringkan dua gol dalam perlawanan akhir yang cukup dramatik menentang Perancis. Perlawanan berakhir dengan penentuan sepakan penalti untuk membawa Argentina merangkul kejuaraan Piala Dunia buat kali ketiga dalam sejarah.
Messi menjaringkan tujuh gol dalam tujuh perlawanan dan menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam setiap pusingan Piala Dunia yang sama sejak pusingan 16 diperkenalkan pada 1986.
Dia juga menjadi pemain pertama memenangi anugerah Bola Emas dalam dua edisi berbeza pada 2022 dan 2014 sejak Piala Dunia diperkenalkan pada 1982.
Trofi Piala Dunia menjadi pelengkap kepadanya selepas merangkul pelbagai trofi kejuaraan sepanjang karier bola sepaknya.
Perpindahan Ke Inter Miami CF
Sebelum ini, bekas bintang Barcelona itu pada minggu lalu mengumumkan untuk menyertai kelab Major League Soccer Inter Miami CF sebaik sahaja kontraknya dengan Paris Saint-Germain tamat pada 30 Jun.
Sumber: ESPN