KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Polis Kuala Lumpur menegaskan tidak mengamalkan pilih kasih atau ‘double standard‘ dalam menjalankan tindakan undang-undang.
Ketua kontinjennya, (CP) Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, penafian itu ditegaskan berikutan penahanan 29 individu yang melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sebuah premis hiburan yang melibatkan seorang anak kenamaan.
“(Ia) termasuklah anak VIP tersebut yang didapati melakukan kesalahan melanggar PKPP.
“Mereka telah dikenakan tindakan yang sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sebelum itu, tular di media sosial berkenaan isu tangkapan anak seorang kenamaan yang dikatakan telah melanggar PKPP, namun didakwa terlepas daripada tindakan pihak polis.
Mengimbas kembali, sebuah premis hiburan di Jalan Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) Kuala Lumpur telah diserbu pihak polis dalam satu operasi pada 22 Ogos lalu.
Difahamkan, premis berkenaan beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah, selain 29 individu dipercayai pengunjung turut ditangkap atas kesalahan berada di sana melebihi had waktu PKPP yang ditetapkan.
Turut ditahan sama adalah seorang lelaki India dipercayai pengurus premis, seorang lelaki warganegara Bangladesh serta tiga wanita Filipina, kesemuanya disyaki pekerja premis tersebut.
Sehubungan itu, keempat-empat suspek warganegara asing terbabit yang berumur lingkungan 33 hingga 52 tahun ditahan reman selama 14 hari bermula 22 Ogos hingga 4 September bagi siasatan lanjut.
Manakala 29 individu tempatan tersebut yang berumur lingkungan 21 hingga 48 tahun dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang.
Pemilik premis berkenaan disiasat di bawah Seksyen 558 Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan menggaji pekerja warga asing.
Kertas siasatan turut dibuka di bawah Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) 2020.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh membuat aduan ke Hotline Polis Kuala Lumpur melalui talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan.


Sumber: Polis Kuala Lumpur