Penumpang yang mempunyai penerbangan ke Jakarta dinasihatkan menghubungi syarikat penerbangan masing-masing dan menyemak status penerbangan sebelum menuju ke lapangan terbang susulan penutupan sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta (CGK), hari ini.
Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menerusi makluman di media sosial berkata, penutupan sementara lapangan terbang berkenaan dibuat susulan kehadiran abu gunung berapi daripada Gunung Anak Krakatau.
Menurut MAHB, perkembangan lanjut berhubung operasi penerbangan serta pembukaan semula lapangan terbang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Terdahulu, media melaporkan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta ditutup sementara selama empat jam awal pagi tadi susulan sebaran abu vulkanik daripada Gunung Anak Krakatau.
Antara laluan penerbangan yang terjejas membabitkan perjalanan ke dan dari Singapura, Hong Kong, Sydney, Seoul/Incheon, Doha, Amsterdam serta Kuala Lumpur.

