Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi mantan Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) yang kini berada di Pulau Pinang bagi menghadiri Penang Peace Dialogue, pagi ini.
Anwar berkata, beliau turut menzahirkan solidariti kepada rakyat Indonesia susulan bencana gunung berapi serta cabaran jerebu yang sedang dihadapi negara berkenaan.
Menurutnya, beliau bagaimanapun memohon maaf kerana tidak dapat bertemu Jokowi secara langsung di Pulau Pinang berikutan perlu menghadiri Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang telah dijadualkan lebih awal.
“Pagi ini sebelum ke MAHA 2026, saya sempat hubungi sahabat lama yang juga Mantan Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo yang kini berada di Pulau Pinang bagi menghadiri Penang Peace Dialogue.
“Saya zahirkan permohonan maaf kerana tidak dapat menyantuni Pak Jokowi secara langsung di sana berikutan rencana bersama golongan petani, penternak, peladang dan komuniti agro di MAHA 2026 yang telah dijadualkan lebih awal,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, perbualan bersama Jokowi berlangsung dalam suasana mesra, selain beliau mengambil kesempatan menzahirkan solidariti kepada rakyat Indonesia yang berdepan bencana gunung berapi dan masalah jerebu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan hubungan Malaysia dan Indonesia bukan sekadar terjalin sebagai negara jiran, malah kedua-duanya merupakan bangsa serumpun yang mempunyai ikatan sejarah, budaya dan persaudaraan yang erat.
Menurutnya, amanah serta kedudukan boleh berubah, namun persahabatan dan rasa hormat antara kedua-dua negara akan terus dipelihara.
“Malaysia dan Indonesia bukan sekadar negara jiran, tetapi dua bangsa serumpun yang diikat sejarah, budaya dan persaudaraan yang akrab. Amanah dan kedudukan boleh silih berganti, namun persahabatan dan rasa hormat akan terus kekal.
“Insya-Allah, ikatan ini akan terus dipelihara demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara serta keamanan dan kemakmuran rantau,” katanya.

