Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Laporan Anthropic: MCMC Tegaskan Tidak Terlibat, Sedang Teliti Perkara Dibangkitkan

Laporan Anthropic MCMC
Kredit: Bernama

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan pihaknya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti atau urusan sebagaimana yang digambarkan dalam laporan terbaharu syarikat kecerdasan buatan (AI), Anthropic.

MCMC dalam satu kenyataan media pada Jumaat berkata pihaknya memandang serius mengenai perkara yang dibangkitkan dalam laporan tersebut.

Laporan Anthropic: MCMC tegaskan tidak terlibat

“Bagi mengelakkan kekeliruan, perkara yang dinyatakan dalam laporan berkenaan bukan sebahagian daripada fungsi atau mandat MCMC,” katanya.

Menurut MCMC, pihaknya juga kini sedang meneliti laporan berkenaan dan akan mendapatkan maklumat serta penjelasan lanjut daripada pihak-pihak berkaitan bagi memastikan fakta sebenar serta memahami konteks isu yang dibangkitkan.

“Berdasarkan maklumat dan bukti yang diperoleh, MCMC akan menentukan tindakan susulan yang bersesuaian mengikut bidang kuasanya, termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan.

“Usaha melindungi orang ramai dan menangani kemudaratan dalam talian kekal menjadi teras tanggungjawab MCMC.

“MCMC akan terus memelihara dan memastikan persekitaran dalam talian yang selamat dan dipercayai untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Anthropic mendedahkan kewujudan satu akaun yang menggunakan Claude untuk mengendalikan sebuah platform manipulasi pilihan raya secara komersial yang menyasarkan pengundi di Malaysia.

Antara perkara yang dinyatakan dalam laporan itu ialah usaha pelaku berkenaan untuk mendapatkan kontrak dengan badan pengawal selia komunikasi nasional Malaysia.

Bagaimanapun, Anthropic berkata pihaknya tidak menemui sebarang bukti bahawa usaha tersebut berjaya.