Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Laporan RCI Tabung Haji Akan Diserah Kepada Pihak Berkuasa Untuk Siasatan - Fahmi

LAPORAN
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil ketika ditemui pada sidang media di Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM), hari ini. Kredit foto: Haziq Hakimi/SK.

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) akan diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk menjalankan siasatan penuh berdasarkan dapatan serta maklumat yang terkandung dalam laporan berkenaan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pihak berkuasa yang terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan agensi berkaitan.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, di sini, hari ini.

Menurut beliau, tindakan itu akan dibuat berdasarkan semua dapatan dan maklumat yang dimaktubkan dalam laporan RCI berkenaan, selain maklumat tambahan yang diberikan Menteri Kewangan II dan Menteri Agama ketika perbahasan laporan RCI Tabung Haji di Dewan Rakyat, semalam.

"Pada waktu ini, sebagai permulaan kita akan serahkan kepada pihak berkuasa seperti yang Perdana Menteri telah umumkan, sama ada pihak PDRM, SPRM, AMLA, Bank Negara, LHDN untuk melakukan siasatan penuh berdasarkan semua dapatan dan juga maklumat yang telah dimaktubkan dalam laporan," katanya.

Fahmi berkata, terdapat dua keputusan yang perlu dibuat berhubung RCI berkenaan, termasuk di peringkat Jemaah Menteri sama ada untuk meneruskan atau mengembangkan perkara berkaitan.

Ujarnya, keputusan berhubung RCI juga perlu mengambil kira kedudukannya sebagai Suruhanjaya Siasatan Diraja yang memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika ia diwujudkan pada 2021.

"Pada waktu ini, peringkat pimpinan belum membincangkan perkara itu," jelasnya.

Dalam pada itu, Fahmi menyifatkan ketidakhadiran sebahagian wakil pembangkang untuk membahaskan laporan RCI Tabung Haji di Dewan Rakyat sebagai satu kerugian kerana mereka mempunyai peluang untuk menyuarakan pandangan berhubung perkara berkenaan.

Katanya, beliau melihat tindakan Ahli Parlimen daripada Parti Bersatu yang hadir membahaskan laporan berkenaan sebagai langkah yang baik dan berbeza dengan sikap parti pembangkang lain daripada Perikatan Nasional.

"RCI ini telah ditubuhkan pada 2021, ketika parti seperti PAS dan Ketua Pembangkang merupakan anggota Jemaah Menteri. Ia disiapkan pada 2022 ketika mereka juga berada dalam kerajaan.

"Tapi yang saya kesali, mereka langsung tidak mahu hadir untuk membahas. Mereka telah terlepas peluang yang baik," katanya.

Beliau berkata, perkara itu lebih penting memandangkan laporan RCI berkenaan melibatkan kepentingan kira-kira 10 juta pendeposit Tabung Haji.

"Saya kesal dengan sikap pembangkang yang bagi saya tidak menjalankan amanah mereka kepada rakyat dan kepada 10 juta pendeposit Tabung Haji," ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, Fahmi berkata perkara tersebut merupakan hak beliau untuk membuat dakwaan berkenaan.