Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Layak Ke Universiti, Sekolah Beri Hadiah Duit RM591,000 Kepada Pelajar

Sofea
layak ke universiti
Kredit: SCMP

Layak Ke Universiti, Sekolah Beri Hadiah Duit RM591,000 Kepada Pelajar

Sebuah sekolah persendirian di China mencuri tumpuan apabila dilapor memberikan ganjaran dalam bentuk wang tunai mencecah ratusan ribu ringgit kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.

Menurut SCMP, Sekolah Antarabangsa Dajiang di Guigang, Guangxi Zhuang telah mengadakan Hari Graduasi pada 12 Ogos untuk meraikan pelajar-pelajar Kelas 2025 yang berjaya menamatkan pengajian.

Dalam acara tersebut, beberapa orang pelajar yang berjaya diterima masuk ke universiti berprestij di negara itu menerima ganjaran lumayan dalam bentuk wang tunai.

Difahamkan, jumlah wang tunai yang diberikan ditentukan berdasarkan ranking universiti-universiti terbabit.

Salah seorang pelajar perempuan bernama Luo muncul sebagai penerima hadiah tertinggi berjumlah 1 juta Yuan (kira-kira RM591,000) selepas berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Tsinghua.

Kredit: SCMP

Selain Luo, beberapa orang pelajar lain turut menerima hadiah tunai, namun pada nilai yang lebih rendah.

Bagi yang berjaya masuk ke Universiti Zhejiang dan Universiti Hong Kong, mereka akan mendapat sebanyak 150,000 yuan (RM88,205). Manakala seorang lagi yang berjaya mendaftar di Universiti Pertanian Huazhong pula sebanyak 10,000 yuan (RM5,880).

Menerusi video yang tular, dapat dilihat wang kertas yang disusun di atas bangku dan diletakkan di atas pentas.

“Saya cemburu dengan gadis ini (Luo), dia masih muda tetapi sudah memiliki satu juta yuan,” kata salah seorang penduduk tempatan.

BACA JUGA: Gigih Cari Duit Kahwin, Rider Grabfood Terharu Dapat Hadiah RM500 Daripada Pelanggan

Universiti di China mendaftarkan pelajar mengikut markah yang mereka capai dalam peperiksaan kemasukan universiti kebangsaan, yang dikenali sebagai ‘gaokao’. Ia berlangsung pada awal Jun setiap tahun.

Universiti Peking dan Universiti Tsinghua masing-masing berada di kedudukan ke-14 dan ke-17 dalam QS World University Rankings 2026. Kedua-duanya dianggap sebagai institusi tertinggi di China dalam kalangan universiti awam di tanah besar.

Sekolah-sekolah di seluruh China menilai bilangan graduan yang berjaya diterima masuk ke dua institusi ini sebagai penanda aras untuk mengukur kemampuan sekolah melahirkan pelajar berprestasi tinggi.

Dikhabarkan bahawa jika seorang pelajar berjaya diterima masuk ke Universiti Peking atau Universiti Tsinghua, guru tingkatan mereka akan menerima bonus sebanyak 100,000 yuan (RM58,800) serta penghormatan yang membantu dalam kenaikan pangkat.

Sumber: SCMP