Lebih 100,000 pengunjung hadir memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya hari ini, sekali gus menyemarakkan semangat patriotik serta kecintaan terhadap negara.
Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Penerangan Malaysia berkata sambutan tahun ini yang mengangkat tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” menzahirkan komitmen berterusan kerajaan dalam membina sebuah negara yang maju, harmoni dan sejahtera tanpa mengira latar belakang.
Katanya, acara perbarisan dan perarakan tahun ini membabitkan 76 kontinjen, 22 kumpulan pancaragam dan 11 kereta berhias, dengan penyertaan seramai 10,819 peserta.
Menurutnya, peserta terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, badan beruniform, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi serta wakil masyarakat sivil.
“Buat julung kalinya, sambutan turut disertai Askar Timbalan Setia Negeri Johor, kontinjen Sukan SEA 2027 dan kontinjen kluster Kelestarian Ekonomi Jingga,” katanya.
Sambutan turut diserikan dengan persembahan pergendangan “Gema Inovasi MADANI”, yang menggabungkan Rebana Inovasi dan Kompang Inovasi bersama pelbagai alat muzik tradisional lain mewakili komuniti serta wilayah di Malaysia.
Ujarnya, persembahan itu membabitkan 150 peserta pergendangan dan 1,500 peserta grafik manusia, sekali gus mencerminkan kepelbagaian warisan seni dan budaya negara.
“Acara turut dimeriahkan dengan persembahan skuadron pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” jelasnya.
Dalam pada itu, persembahan penutupan “Rentak MADANI, Paluan Tradisi” menghimpunkan seramai 2,350 peserta terdiri daripada Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), PERMATA Seni Tari, pelajar Kementerian Pendidikan (KPM), agensi dan jabatan kerajaan, syarikat seni serta badan bukan kerajaan (NGO) seni dan budaya.
Persembahan berkenaan turut menampilkan penyanyi tanah air, Faizal Tahir yang menyampaikan lagu tema rasmi HKHM 2026, Aku Berjanji.
Menurut kenyataan itu, keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, selain kehadiran Perdana Menteri bersama isteri, Timbalan Perdana Menteri, barisan Menteri Kabinet serta duta dan konsul asing di Malaysia, turut menambahkan seri sambutan.
Jelasnya, sambutan Hari Kebangsaan 2026 bukan sahaja menjadi wadah meraikan kemerdekaan negara, malah mencerminkan semangat perpaduan, kepelbagaian dan kebersamaan rakyat Malaysia.

