Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

SHAH ALAM, 13 Julai (Bernama) -- Selepas lebih sedekad mencetuskan cadangan pembinaan pengangkutan rel baharu di Shah Alam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menaiki sendiri Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam, yang kini menjadi antara nadi baharu pengangkutan awam di Selangor.
Segalanya bermula apabila baginda menerima pelbagai surat dan keluhan daripada rakyat mengenai kesesakan lalu lintas, khususnya di laluan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur, sehingga mencetuskan idea pembinaan laluan baharu itu.
Justeru, keberangkatan Sultan Sharafuddin merasai sendiri perjalanan menaiki LRT3 hari ini menjadi detik bermakna apabila buah fikiran baginda yang tercetus daripada suara rakyat akhirnya direalisasikan dan membawa manfaat kepada ribuan pengguna setiap hari.
Dalam lawatan itu, baginda yang tiba pada 10.30 pagi diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menaiki gerabak khas dari Stesen Bandar Utama ke Stesen Johan Setia dalam perjalanan yang mengambil masa kira-kira sejam dan melalui 20 stesen.
Turut mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) Amir Hamdan dan Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) Datuk Imran Salim.
Menurut kenyataan Istana Alam Shah, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa syukur kerana projek infrastruktur pengangkutan awam yang sekian lama dinantikan itu akhirnya menjadi kenyataan demi meningkatkan mutu kehidupan rakyat, mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap, selesa dan mampan.
“Perkhidmatan tren ini adalah kemudahan pengangkutan awam yang penting untuk kesenangan rakyat.
“Alhamdulillah, akhirnya LRT3 ini siap dan boleh digunakan serta (beta) percaya ada hikmah yang Allah S.W. T. ingin tunjukkan daripada kelewatan ini,” titah baginda menerusi kenyataan itu.
Selain itu, Sultan Sharafuddin turut teruja menantikan siapnya lima lagi stesen tertangguh yang bakal dibina semula iaitu stesen LRT3 Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik yang bakal memberi manfaat kepada majoriti penduduk di kawasan berhampiran.
Menerusi kenyataan itu, baginda turut menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada Prasarana atas kejayaan operasi LRT3 yang akan memberi manfaat besar kepada rakyat, khususnya warga Shah Alam, Klang dan kawasan sekitarnya.
Baginda juga berkenan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja Prasarana dan juga MRCB serta semua pihak yang terlibat secara langsung langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan pembinaan dan pengoperasian LRT3 itu.
Menurut kenyataan itu, baginda teIah disembah maklum bahawa sepanjang pelaksanaan projek LRT3, lebih 13,000 individu telah menyumbang tenaga, kepakaran dan komitmen mereka dalam merealisasikan pembinaannya.
Baginda berkenan menzahirkan ucapan syabas dan tahniah di atas peranan setiap daripada mereka dalam mengubah perancangan bertahun-tahun menjadi sebuah sistem pengangkutan moden harian.
“Walaupun stesen, landasan dan tren merupakan hasil yang dapat dilihat oleh masyarakat, hakikatnya kejayaan sebenar projek ini adalah manifestasi dedikasi, profesionalisme serta semangat lebih 13,000 individu yang telah mengabdikan tenaga dan kepakaran mereka sepanjang pembinaannya,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut berharap agar operasi LRT3 berjalan dengan lancar selain berpesan agar rakyat memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan tren tersebut yang menjadi pemangkin kepada budaya penggunaan pengangkutan awam lebih meluas demi mewujudkan sistem mobiliti yang moden, lestari dan berkualiti untuk masa hadapan.
Laluan LRT3 itu dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Jun lepas, yang turut mengumumkan tambang percuma selama sebulan bermula 29 Jun hingga 31 Julai kepada semua penumpang, termasuk bagi perkhidmatan bas perantara kendalian Prasarana di sepanjang laluan berkenaan.
Projek bernilai RM16.63 bilion itu merupakan antara pelaburan strategik kerajaan bagi memperkukuh infrastruktur pengangkutan awam negara.
Laluan berkenaan turut disokong oleh 40 bas perantara yang beroperasi di 323 hentian membabitkan 13 laluan khusus bagi meningkatkan kesalinghubungan kepada pengguna.