Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, tidak memperkenankan mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di negeri ini diberikan kebenaran untuk mendirikan solat Jumaat buat masa ini.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin, memaklumkan ketetapan itu dibuat selaras dengan kuasa prerogatif baginda sebagai Ketua Agama Islam Negeri dalam menentukan perkara berkaitan pentadbiran agama Islam, termasuk pemberian kebenaran mendirikan solat Jumaat di surau atau musolla.
Menurut Salehuddin, urusan berkaitan masjid dan surau atau musolla adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sebagaimana diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan cadangan Kerajaan Persekutuan menerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, untuk mewujudkan surau solat Jumaat di pusat beli-belah di seluruh negara.
"Penubuhan masjid dan surau serta penggunaan mana-mana bangunan sebagai masjid, surau atau musolla adalah tertakluk kepada kebenaran bertulis MAIS mengikut Seksyen 97 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003," katanya.
Tambah beliau, kebenaran mendirikan solat Jumaat di surau atau musolla pusat beli-belah berpotensi menjejaskan usaha memakmurkan serta mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadah umat Islam.
"Hal ini kerana ia boleh menyebabkan jumlah jemaah di masjid serta surau yang telah diberikan kebenaran solat Jumaat berkurangan memandangkan umat Islam mempunyai pilihan untuk menunaikan solat Jumaat di surau atau musolla di pusat beli-belah," menurut kenyataan itu.
Ketika ini terdapat 448 masjid dan 379 surau di Selangor yang telah diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat.
Menurutnya, jumlah itu mencukupi dan mampu menampung keperluan umat Islam di negeri berkenaan untuk menunaikan solat Jumaat.
Selain itu, kebanyakan pusat beli-belah juga terletak berhampiran masjid atau surau yang telah diberikan kebenaran solat Jumaat, sekali gus memudahkan orang ramai menunaikan ibadah tersebut.
Beliau turut menjelaskan bahawa solat Jumaat merupakan ibadah yang penting dan mulia serta lebih sesuai didirikan di masjid atau surau yang dibina khusus untuk tujuan ibadah berbanding di surau atau musolla yang berada di pusat beli-belah.
Menurut kenyataan itu, pusat beli-belah lazimnya merupakan lokasi perniagaan, hiburan dan rekreasi yang dikunjungi masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Bagi umat Islam yang bekerja pula, tempoh waktu rehat yang ditetapkan adalah mencukupi untuk membolehkan mereka ke masjid atau surau solat Jumaat berhampiran bagi menunaikan ibadah berkenaan.
Dalam pada itu, MAIS berkata sebarang cadangan untuk membenarkan solat Jumaat di surau atau musolla pusat beli-belah juga perlu mengambil kira aspek pelantikan imam, bilal dan petugas lain, selain pengurusan serta tadbir urus surau atau musolla berkenaan supaya mematuhi segala peraturan dan dasar yang ditetapkan.
"Jika petugas bagi surau yang diberikan kebenaran solat Jumaat di pusat beli-belah tidak dilantik oleh MAIS, keadaan itu akan menimbulkan kesukaran dari aspek pemantauan dan kawalan terhadap pengurusan surau atau musolla berkenaan," menurut kenyataan itu.
Ia termasuk memastikan pematuhan dan keseragaman pembacaan khutbah Jumaat yang disediakan oleh pihak MAIS.
MAIS menjelaskan bahawa walaupun pada masa ini terdapat satu surau atau musolla di pusat beli-belah di Negeri Selangor yang telah diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat, namun kebenaran tersebut adalah bersifat sementara.
"Kebenaran itu diberikan kerana tiada masjid yang berdekatan dengan premis berkenaan.
"Bagaimanapun, kebenaran sementara itu akan ditarik balik jika pada masa hadapan terdapat pembinaan masjid yang berdekatan dengan pusat beli-belah tersebut yang mampu menampung kapasiti penduduk Islam setempat untuk mendirikan solat Jumaat," tambahnya.
MAIS turut menjelaskan bahawa ketetapan DYMM Sultan Selangor itu adalah selaras dengan ajaran dan syiar Islam agar umat Islam memperkukuhkan fungsi serta peranan masjid sebagai pusat ibadah utama umat Islam, selain menjadi pusat penyebaran ilmu dan dakwah.
Justeru, MAIS menyeru seluruh umat Islam di Negeri Selangor untuk terus mengimarahkan masjid dan surau agar institusi masjid dan surau dapat dijadikan sebagai pusat perpaduan umat Islam.