Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hassan Dakwa Mesir 'Dirompak' Perlawanan Menentang Argentina

Hassan Dakwa Mesir
Kredit: The Guardian

Hassan Dakwa Mesir 'Dirompak' Perlawanan Menentang Argentina

"Ini adalah cara saya untuk bersuara dan mempertahankan pendirian saya. Jangan harap nak tonton lagi mana-mana perlawanan dalam Piala Dunia ini."

Tegas jurulatih Mesir, Hossam Hassan, selepas mendakwa pasukannya 'dianiaya' ketika tewas 3-2 kepada Argentina dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia awal pagi tadi.

Dalam perlawanan berkenaan, Mesir terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Yasser Ibrahim sebelum menyangka mereka berjaya menggandakan kelebihan pada awal babak kedua.

Bagaimanapun, gol Mostafa Ziko dibatalkan selepas Marwan Attia didakwa melakukan kekasaran ketika gerakan serangan dibina.

Ziko kemudiannya berjaya menjadikan kedudukan 2-0 tidak lama selepas itu, namun Argentina bangkit menerusi jaringan Cristian Romero sebelum Lionel Messi menyamakan kedudukan.

Jaringan itu menyaksikan Messi mencatat gol kelapannya dalam kejohanan tersebut selain gol ke-21 sepanjang penampilannya di pentas Piala Dunia.

Mesir turut mempertikaikan keputusan pengadil Perancis, François Letexier, yang gagal memberikan sepakan percuma beberapa saat sebelum Enzo Fernández menjaringkan gol kemenangan Argentina.

Hassan berkata pihaknya sudah membantah pemilihan Letexier sebagai pengadil sebelum perlawanan berlangsung.

Namun, bekas penyerang Mesir itu lebih lantang mengkritik FIFA yang didakwanya mahu memastikan Argentina selaku juara bertahan terus kekal dalam kejohanan tersebut.

"Ini semua tentang wang. Mereka mahu Messi kekal dalam kejohanan ini. Dalam bola sepak, banyak perkara berlaku di luar padang disebabkan kepentingan tertentu.

"Apa yang berlaku adalah tidak adil. Mesir layak untuk mara. Kami adalah pasukan yang lebih baik," katanya.

Hassan, yang masih memegang rekod penjaring terbanyak Mesir dengan satu gol mengatasi Mohamed Salah, turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan perlawanan.

"Kenapa tiada keadilan dalam sukan? Saya tidak mahu cuba memperindahkan perkara ini dengan kata-kata yang indah. Kami telah dilayan secara tidak adil hari ini. Kami telah menjadi mangsa ketidakadilan.

"Ini adalah cara saya untuk bersuara dan mempertahankan pendirian saya. Saya tidak akan menonton lagi sebarang perlawanan dalam kejohanan ini," katanya.

Sementara itu, Ziko turut mempersoalkan keputusan pegawai perlawanan yang disifatkan memihak kepada Argentina.

"Selepas kami menjadikan kedudukan 2-0, semuanya berubah menentang kami. Saya tidak tahu mengapa gol kedua itu dibatalkan," katanya.

Hossam Hassan Berisiko Dikenakan Tindakan FIFA

Menurut Mickey Jnr, seorang wartawan bola sepak terkemuka Afrika, jurulatih berusia 59 tahun itu akan disiasat oleh FIFA susulan insiden tersebut, malah beliau berkemungkinan berdepan hukuman penggantungan.

Pada 2010, pengendali José Mourinho ketika bersama Inter Milan turut melakukan isyarat ‘X’ yang sama.

Beliau kemudiannya dikenakan penggantungan tiga perlawanan, namun masih belum diketahui sama ada peraturan berkaitan isyarat tersebut masih sama selepas tempoh 16 tahun.