Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Trump Dakwa Hanya Minta Semak Kad Merah Balogun

Trump
Kredit: BBC

Trump Dakwa Hanya Minta Semak Kad Merah Balogun

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkata beliau menghubungi Presiden FIFA, Gianni Infantino, bagi meminta semakan terhadap kad merah yang dilayangkan kepada penyerang skuad kebangsaan Amerika Syarikat, Folarin Balogun, ketika aksi menentang Bosnia dan Herzegovina pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia.

Trump menyifatkan keputusan pengadil itu sebagai 'sangat teruk' dan berkata beliau hanya meminta agar insiden berkenaan disemak semula tanpa memberi sebarang arahan kepada FIFA.

"Apa yang saya lakukan hanyalah meminta semakan. Saya tidak pernah berkata, 'anda mesti lakukan ini'," katanya pada sidang media di Rumah Putih.

Pada Ahad, FIFA mengumumkan hukuman penggantungan satu perlawanan terhadap Balogun ditangguhkan, sekali gus membolehkan beliau beraksi dalam perlawanan pusingan 16 terbaik menentang Belgium.

Dalam kenyataan di laman sesawang rasminya, FIFA memaklumkan keputusan itu dibuat berdasarkan Artikel 27 Kod Tatatertib FIFA (FDC).

Menurut Trump, beliau berpendapat insiden yang membawa kepada kad merah itu hanyalah pertembungan antara dua pemain dan tidak sepatutnya dianggap sebagai kekasaran yang melayakkan hukuman tersebut.

"Saya fikir ia bukan satu kekasaran. Ia hanyalah dua atlet hebat yang bertembung dan kaki mereka tersangkut," katanya.

Balogun menjaringkan gol pembukaan Amerika Syarikat ketika menewaskan Bosnia dan Herzegovina 2-0 sebelum dilayangkan kad merah pada minit ke-64 susulan terjahan terhadap pertahanan Tarik Muharemovic.

Trump berkata beliau pada mulanya tidak mengetahui implikasi kad merah berkenaan, namun bertindak meminta semakan selepas dimaklumkan bahawa hukuman itu akan menyebabkan Balogun terlepas aksi menentang Belgium.

Beliau turut mempersoalkan keputusan pengadil yang dibuat selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR), sambil menyifatkan tayangan ulang gerak perlahan telah memberikan gambaran yang tidak tepat terhadap insiden tersebut.

"Saya melihat sendiri insiden itu... itu bukan satu kekasaran, malah bukan satu kesalahan.

"Ya, saya meminta FIFA membuat semakan kerana Balogun tidak melakukan apa-apa yang salah," katanya.

Seorang pegawai Amerika Syarikat memberitahu ABC News bahawa Trump dan Infantino telah berbincang mengenai keputusan itu, dengan Presiden Amerika Syarikat berusaha mendapatkan penjelasan berhubung alasan kad merah dan penggantungan dikenakan terhadap Balogun.

Menurut pegawai itu, Trump dimaklumkan bahawa proses rayuan dikendalikan oleh panel bebas, manakala kerajaan Amerika Syarikat turut mengemukakan bukti tambahan yang digunakan dalam proses rayuan tersebut.

FIFA setakat ini belum mengulas mengenai faktor yang mendorong keputusan menggantung pelaksanaan hukuman berkenaan, walaupun perlembagaan badan induk bola sepak dunia itu melarang campur tangan politik dalam urusan berkaitan persatuan bola sepak kebangsaan.

Sementara itu, Belgium mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut, manakala Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) menyifatkan tindakan FIFA itu sebagai telah 'melampaui batas'.

Dalam kenyataan berasingan, U.S. Soccer memaklumkan pihaknya menerima keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA dan mengalu-alukan kelayakan Balogun untuk beraksi.

"Kami menerima keputusan Jawatankuasa Tatatertib dan gembira kerana Folarin Balogun layak beraksi.

"Tumpuan penuh kami kini adalah kepada perlawanan pusingan 16 terbaik menentang Belgium," menurut kenyataan itu.

Amerika Syarikat dijadual berdepan Belgium dalam usaha memburu slot ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak edisi 2002.