Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Piala Dunia 2026: UEFA Kritik FIFA Isu Tangguh Kad Merah Pemain AS

UEFA
Kredit: UEFA & BBC

Piala Dunia 2026: UEFA Kritik FIFA Isu Tangguh Kad Merah Pemain AS

Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) menyifatkan keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang membenarkan penyerang Amerika Syarikat, Folarin Balogun, beraksi dalam perlawanan Piala Dunia menentang Belgium sebagai melampaui batas dan mengancam integriti permainan.

Balogun, yang telah menjaringkan tiga gol dalam kempen Piala Dunia kali ini, sebelum itu dilayangkan kad merah selepas menjaringkan gol pembukaan ketika membantu Amerika Syarikat menewaskan Bosnia dan Herzegovina pada pusingan 32 terbaik.

Insiden tersebut berlaku apabila beliau mengasari pemain Bosnia dan Herzegovina, Tarik Muharemovic, dalam satu aksi perebutan bola.

Dalam kenyataan itu, UEFA menegaskan bahawa bola sepak, seperti mana-mana sukan lain, bergantung kepada peraturan sebagai asas kepada pertandingan yang adil, jujur dan telus.

Walaupun terdapat peraturan yang boleh ditafsirkan, perkara berkenaan bukanlah termasuk dalam kategori tersebut.

UEFA menegaskan bahawa penggantungan automatik minimum satu perlawanan selepas kad merah bukanlah satu keputusan yang bersifat budi bicara dan tidak memerlukan kelulusan mana-mana badan berkuasa untuk dikuatkuasakan kerana ia telah termaktub secara jelas dalam peraturan pertandingan.

“Prinsip tersebut tidak boleh tertakluk kepada sebarang pengecualian, lebih-lebih lagi ketika kejohanan sedang berlangsung, apabila beberapa pemain lain dalam situasi sama sebelum ini telah pun menjalani penggantungan seperti ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

UEFA turut menegaskan bahawa sekiranya kepastian terhadap pelaksanaan peraturan tidak lagi dijamin oleh pihak yang bertanggungjawab, integriti permainan akan terjejas dan kredibiliti pertandingan turut terhakis.

Tambahnya, keputusan tersebut mewujudkan satu duluan dalam kejohanan yang sedang berlangsung, sekali gus menyebabkan situasi serupa selepas ini perlu dilayan secara sama rata, yang boleh menjejaskan kelancaran pertandingan.

Menurut kenyataan itu lagi, bola sepak merupakan sukan paling digemari di dunia kerana keindahan permainannya serta kepercayaan bahawa ia dimainkan dengan undang-undang yang sama di seluruh dunia.

“Sesebuah kejohanan tidak boleh dianggap berdiri sendiri, dan jika kejohanan tersebut merupakan Piala Dunia, ia mampu memberi kesan sama ada positif atau negatif terhadap pembangunan serta imej bola sepak secara keseluruhan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, UEFA menyatakan rasa tidak percaya terhadap keputusan tersebut yang disifatkan sebagai tidak pernah berlaku sebelum ini, sukar difahami dan tidak dapat dijustifikasikan.

Bekas Presiden FIFA kritik keputusan berhubung Balogun

Bekas Presiden FIFA, Sepp Blatter, turut mengkritik keputusan tersebut menerusi media sosial dan mempersoalkan ke mana arah tuju FIFA selepas keputusan berkenaan dibuat.

Blatter, yang menerajui FIFA dari tahun 1998 hingga 2015, menegaskan bahawa bola sepak tidak boleh dijadikan 'medan permainan kuasa politik'.

“Kad merah tidak boleh diketepikan melalui panggilan telefon politik. Ia hanya boleh diketepikan melalui peraturan, bukti dan badan bebas.

"Jika seorang Presiden Amerika Syarikat campur tangan dengan Presiden FIFA dan seorang pemain tiba-tiba dibebaskan sebelum perlawanan kalah mati Piala Dunia," menurut hantaran di akaun X beliau.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan serta mempersoalkan hala tuju FIFA berhubung keputusan kontroversi melibatkan Balogun.