Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menambah lapan perkhidmatan tren elektrik (ETS) bagi laluan ke selatan tanah air sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi memenuhi permintaan tinggi dalam kalangan penumpang yang ingin pulang mengundi hujung minggu ini.
KTMB dalam satu kenyataan memaklumkan, penambahan itu melibatkan empat perkhidmatan ETS bagi laluan KL Sentral – JB Sentral – KL Sentral dan empat lagi bagi laluan JB Sentral – Gemas – JB Sentral.
Menurut KTMB, keputusan menambah perkhidmatan itu dibuat selepas tiket tren tambahan yang mula dijual pada 19 Jun lalu mendapat sambutan menggalakkan sehingga habis dijual.
Katanya, jualan tiket bagi laluan JB Sentral – Gemas – JB Sentral telah dibuka hari ini bermula jam 3 petang, manakala tiket bagi laluan KL Sentral – JB Sentral – KL Sentral akan mula dijual esok pada jam 9 pagi.
Kesemua perkhidmatan tren tambahan itu akan beroperasi selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Julai 2026, dengan setiap perjalanan menyediakan 312 tempat duduk.
Secara keseluruhan, KTMB menawarkan sebanyak 2,488 tempat duduk tambahan sehari, menjadikan keseluruhan 7,464 tiket tambahan sepanjang tempoh operasi tersebut.
Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan bertujuan memberi lebih banyak pilihan perjalanan kepada pengguna, khususnya pengundi di Johor yang merancang perjalanan pergi dan balik menggunakan pengangkutan awam.
Bagi menggalakkan lebih ramai rakyat memilih perkhidmatan rel, KTMB turut menawarkan diskaun tambang sebanyak 20 peratus bagi semua perkhidmatan ETS tambahan yang beroperasi dalam tempoh 10 hingga 12 Julai ini.
Katanya, tawaran promosi itu bukan sahaja membantu penumpang berjimat, malah menyokong usaha menggalakkan penggunaan pengangkutan awam menerusi inisiatif Road to Rail.
Dalam pada itu, penumpang dinasihatkan supaya hadir di stesen sekurang-kurangnya 30 minit sebelum waktu berlepas bagi memastikan proses menaiki tren berjalan lancar.
KTMB turut mengingatkan bahawa pintu masuk ke platform akan ditutup lima minit sebelum tren berlepas, justeru penumpang diminta merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan.