Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Seramai 19,471 pengundi awal, bersamaan 94.49 peratus daripada keseluruhan 20,607 pengundi awal, telah menunaikan tanggungjawab mereka pada proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang berlangsung semalam.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.
Menurut beliau, proses pengundian awal yang bermula pada jam 8 pagi itu membabitkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing.
Sebanyak 62 pusat mengundi awal dibuka di seluruh Johor dengan proses pengundian ditutup secara berperingkat pada jam 12 tengah hari, 2 petang dan 5 petang mengikut lokasi.
Daripada keseluruhan pengundi awal yang hadir, seramai 7,960 terdiri daripada anggota tentera dan pasangan, manakala 11,511 lagi melibatkan anggota polis, PGA serta pasangan mereka.
Dalam kenyataan sama, SPR merakamkan penghargaan kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan petugas yang berjaya memastikan proses pengundian awal berlangsung dengan lancar.
“Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, PDRM, ATM, petugas media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” katanya.
Untuk rekod, peratusan keluar mengundi awal bagi PRN Johor pada 2022 adalah sebanyak 77.28 peratus, membabitkan 17,413 daripada 22,531 pengundi awal, sekali gus menunjukkan peningkatan ketara pada pilihan raya kali ini.