Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesahkan satu kes rabies dalam kalangan manusia yang merupakan kes pertama dilaporkan di negeri itu sejak 1998.
Kes rabies pertama sejak 1998
JKN Kedah dalam kenyataan di Facebook semalam memaklumkan pesakit, seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 31 tahun dari Kubang Pasu, meninggal dunia pada 27 September 2026.
Menurut kenyataan itu, pesakit mempunyai sejarah digigit anjing terbiar pada Ogos lalu dan telah mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan selepas kejadian berkenaan, namun tidak menerima profilaksis pascapendedahan (PEP) rabies.
“Pada 18 September 2026, kes mula mengalami kelesuan, kelemahan dan kebas pada anggota atas kanan.
“Gejala kemudiannya berkembang kepada kesukaran menelan, hidrofobia, aerofobia, keresahan dan perubahan tingkah laku pada 22 September 2026, selaras dengan manifestasi klinikal rabies,” menurut kenyataan itu.
Pesakit mendapatkan rawatan semula pada 23 September sebelum dirujuk untuk rawatan lanjut dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Sampel klinikal diambil pada 24 September dan keputusan ujian makmal pada 26 September mengesahkan jangkitan rabies.
Sehingga Ogos 2026, sebanyak 502 kes gigitan dan cakaran haiwan dilaporkan di Kedah, dengan 65.3 peratus melibatkan anjing, 23.1 peratus kucing dan 11.6 peratus haiwan lain.
Daripada jumlah itu, 56.2 peratus melibatkan haiwan peliharaan, manakala 43.8 peratus membabitkan haiwan terbiar.
Susulan pengesahan kes berkenaan, JKN Kedah bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah dan pihak berkuasa berkaitan melaksanakan pelbagai tindakan kawalan dan pencegahan.
Antaranya termasuk pengesanan kes secara aktif, pendidikan kesihatan, pengukuhan survelan kes gigitan haiwan, penilaian risiko serta tindakan kawalan terhadap haiwan terbiar di kawasan terlibat.
Memandangkan kes itu merupakan kes rabies dalam kalangan manusia pertama yang dilaporkan di Kedah sejak 1998, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama JKN Kedah dan agensi berkaitan sedang menjalankan siasatan epidemiologi secara menyeluruh bagi mengenal pasti sumber jangkitan dan laluan pendedahan.
Siasatan meliputi penelitian sejarah perjalanan dan pendedahan, pengenalpastian kontak serta faktor risiko, selain analisis garis masa kejadian bagi mengenal pasti sumber dan faktor berkaitan jangkitan.
Tindakan kawalan turut diperkukuh menerusi pendekatan One Health, termasuk pengesanan dan pengurusan pendedahan manusia, survelan kes gigitan haiwan, pemantauan serta penilaian risiko terhadap anjing dan haiwan yang berpotensi terdedah, selain pelaksanaan tindakan kawalan di kawasan berisiko.
Usaha itu dilaksanakan menerusi pendekatan whole-of-nation yang membabitkan kerjasama KKM, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi berkaitan dan komuniti bagi memastikan perkongsian maklumat, pengesanan awal serta tindakan respons terhadap sebarang kes atau pendedahan dapat dilaksanakan secara bersepadu dan pantas.
JKN Kedah turut mengingatkan orang ramai bahawa rabies boleh menular melalui gigitan, cakaran atau pendedahan kepada air liur haiwan yang dijangkiti.
Orang ramai dinasihatkan memastikan anjing dan kucing peliharaan menerima vaksinasi antirabies mengikut nasihat Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta tidak mendekati, menyentuh atau memberi makan kepada haiwan terbiar.
Mereka juga dinasihatkan supaya tidak mengambil atau memelihara haiwan yang tidak diketahui status kesihatan dan vaksinasi rabiesnya.
Sekiranya digigit atau dicakar haiwan, luka perlu segera dicuci menggunakan sabun dan air mengalir selama sekurang-kurangnya 15 minit sebelum mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta berhampiran bagi penilaian risiko serta rawatan bersesuaian.
“Jangan tunggu sehingga timbul gejala,” menurut kenyataan itu.
Mana-mana individu yang pernah digigit, dicakar atau terdedah kepada air liur haiwan yang berisiko dijangkiti rabies turut dinasihatkan supaya segera mendapatkan penilaian di fasiliti kesihatan berhampiran, walaupun luka telah sembuh.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mengendalikan bangkai haiwan yang mati tanpa diketahui punca kematiannya.
Sebarang kejadian melibatkan haiwan yang disyaki dijangkiti rabies hendaklah dilaporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah atau PBT.
“Rabies boleh membawa maut, namun boleh dicegah,” menurut JKN Kedah yang menyeru orang ramai supaya mengambil serius setiap kejadian gigitan atau cakaran haiwan dan mendapatkan rawatan dengan segera.
Tindakan segera selepas pendedahan serta pemberian PEP rabies yang bersesuaian amat penting dalam mencegah rabies.
JKN Kedah turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pesakit.

