Lelaki Bujang Malaysia Layak Mohon Untuk Menyewa Di Residensi Belia Cheras (DBKL) RM200 Sebulan
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini membuka tawaran penempatan kediaman khusus untuk golongan belia bujang lelaki yang bekerja atau menjalani latihan industri di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menerusi hantaran dewanbandarayakualalumpur di Instagram, calon yang layak mestilah warganegara Malaysia berumur antara 18 hingga 40 tahun dan tidak memiliki rumah dalam radius 35 kilometer dari pusat bandar.
Selain itu, calon yang ingin memohon perlu memenuhi syarat bekerja atau menjalani latihan industri di Kuala Lumpur.
Residensi Belia Cheras dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk perabot asas, surau, kemudahan sukan, dewan serbaguna, pondok pengawal keselamatan serta lif bagi keselesaan penghuni.
Dalam pada itu, DBKL menggalakkan semua lelaki bujang yang memenuhi syarat untuk memohon penempatan di Residensi Belia Cheras bagi menikmati kemudahan yang disediakan.
Permohonan boleh dibuat melalui laman web eperumahan.dbkl.gov.my.
Dokumen diperlukan untuk permohonan Residensi Belia Cheras
Pemohon dikehendaki memuat naik dokumen dalam format WinRAR atau WinZip, termasuk:
Gambar pemohon bersaiz pasport.
Salinan kad pengenalan asal (format JPEG).
Surat pengesahan bujang daripada majikan, pendaftar JPN, imam, atau ketua penduduk.
Penyata gaji terkini.
Kad OKU (jika berkenaan).
Permohonan yang tidak lengkap, termasuk lampiran yang tidak disertakan, atau tidak memenuhi syarat kelayakan, tidak akan diproses sehingga dokumen dilengkapkan sepenuhnya.
Status permohonan akan dimaklumkan melalui emel yang didaftarkan oleh pemohon.
Sumber: dewanbandarayakualalumpur via Instagram