Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Cubaan seorang lelaki dipercayai mencuri kabel berhampiran landasan kereta api membawa padah apabila dia terkena renjatan elektrik berkuasa tinggi sehingga mengakibatkan gangguan operasi tren di utara Semenanjung pagi semalam.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan kejadian berlaku pada jam 6.08 pagi di bawah sebuah jambatan berhampiran landasan kereta api.
Menurut KTMB, insiden itu menyebabkan gangguan bekalan kuasa di laluan antara Tasek Gelugor dan Sungai Petani pada Kilometer 32.500.
Siasatan awal mendapati gangguan bekalan elektrik atau tripping itu berpunca daripada tindakan individu terbabit yang menceroboh kawasan infrastruktur rel untuk mencuri kabel.
“Bagaimanapun, tindakan tersebut menyebabkan individu berkenaan terkena renjatan elektrik 25 kilovolt (kV) atau fenomena flashover ketika menggunakan peralatan yang tidak sesuai berhampiran sistem bekalan kuasa landasan,” menurut kenyataan itu.
Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
KTMB menegaskan bahawa perbuatan menceroboh kawasan rel dan mencuri komponen infrastruktur kereta api merupakan kesalahan serius serta boleh mengundang risiko kemalangan dan mengancam nyawa.
Menurut syarikat itu, sistem bekalan kuasa yang digunakan bagi operasi tren elektrik membawa voltan tinggi yang mampu menyebabkan kecederaan serius atau kematian dalam sekelip mata.
“Justeru, orang ramai diingatkan bahawa kawasan infrastruktur rel bukan tempat untuk diceroboh atau dijadikan sasaran kegiatan jenayah,” katanya.
Dalam pada itu, KTMB turut memaklumkan bahawa perbuatan menceroboh, merosakkan atau mencuri harta benda kereta api boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Keretapi 1991 serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.