Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lelaki Indonesia Dedah Sebab Durian Malaysia 'Ada Kelas' Berbanding Indonesia
Bagi peminat durian, bau yang kuat dan rasa lemak berkrim sudah cukup membuatkan ramai tidak sabar menunggu musim buah ini tiba.
Tidak hairanlah durian sering digelar sebagai ‘raja buah’ kerana keunikan rasanya yang sukar dibandingkan dengan buah lain.
Setiap orang pula mempunyai pilihan dan citarasa tersendiri, ada yang suka isi tebal, ada yang mencari rasa manis berlemak, malah ada juga yang sanggup mencuba pelbagai jenis durian untuk mencari yang paling menepati selera.
Namun, pernah terfikir kenapa ada durian yang menjadi kegilaan ramai dan mempunyai peminat tersendiri?
Rupanya, ada beberapa perkara menarik di sebalik kualiti sesebuah durian yang mungkin ramai belum tahu.
Baru-baru ini, perkongsian seorang pengguna TikTok, @handy_merantau, mencuri perhatian apabila dia berkongsi pandangannya tentang faktor yang menjadikan durian Malaysia terkenal dengan kualiti dan rasanya berbanding durian Indonesia.
Menerusi video tersebut, dia mendedahkan ibu bapanya pernah menanam pokok durian di Indonesia dan terpaksa menunggu kira-kira enam tahun sebelum ia berbuah.
Namun, hasil yang diperoleh tidak seperti diharapkan kerana rasanya disifatkan kurang memuaskan, malah menurutnya durian kampung lebih enak berbanding durian yang ditanam itu.

Menurutnya, keadaan itu berbeza di Malaysia kerana industri durian di negara ini disokong oleh sistem yang lebih tersusun menerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), yang berperanan menjalankan penyelidikan serta memantau pembangunan varieti durian.


Tambahnya lagi, varieti Musang King yang terkenal mempunyai kod pendaftaran rasmi D197.
Benihnya juga tidak boleh dikeluarkan atau dijual sewenang-wenangnya kerana perlu melalui proses pensijilan dan pemantauan bagi memastikan kualiti varieti tersebut sentiasa terpelihara.


Tambahnya lagi, Musang King dikatakan paling sesuai ditanam di Raub, Pahang kerana kawasan itu mempunyai gabungan faktor semula jadi yang menjadikan rasanya berbeza berbanding Musang King yang ditanam di lokasi lain.

Menurutnya, faktor seperti jenis tanah, ketinggian kawasan dan taburan hujan memainkan peranan penting dalam menentukan kualiti buah.
Dalam industri anggur, konsep ini dikenali sebagai terroir, iaitu keadaan persekitaran yang mempengaruhi rasa dan kualiti hasil tanaman.

Katanya, di sinilah peranan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjadi sangat penting dalam memastikan sesuatu varieti ditanam di kawasan yang paling sesuai.
Dia turut menjelaskan bahawa Indonesia sebenarnya mempunyai pelbagai varieti durian berkualiti seperti Petruk, Matahari, Si Tokong dan Super Tembaga Klamunod, malah ada antaranya disifatkan lebih sedap daripada Musang King.


Namun, menurutnya, kekurangan dari segi penyelidikan, pemetaan kawasan penanaman dan pembangunan benih menyebabkan tidak semua varieti mampu menghasilkan buah yang berkualiti apabila ditanam di lokasi yang berbeza.
Katanya, setiap varieti durian mempunyai kawasan yang paling sesuai untuk ditanam.
Oleh itu, pemetaan lokasi dan penyelidikan yang lebih menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan setiap jenis durian ditanam mengikut kesesuaian tanah, iklim dan persekitaran.
Mengimbas pengalamannya sendiri, dia berkata kegagalan ibu bapanya menghasilkan durian yang berkualiti bukan berpunca daripada benih yang tidak baik, sebaliknya kerana benih tersebut tidak ditanam di lokasi yang sesuai dengan keadaan tanah, iklim dan faktor persekitaran.