Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lelaki Maut, Lori Dipandu Terbenam Dalam Lubang Jalan Mendap
Seorang pemandu lori maut selepas lori yang dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam lubang jalan mendap, lapor Sinar Harian.
Menurut portal berita berkenaan, kejadian tersebut berlaku berhampiran Jambatan Bailey di Seksyen 102, Kilometer 73, Jalan Kuantan-Segamat, kira-kira 8.55 malam pada Rabu.
Mangsa yang berusia 29 tahun yang beralamat di Kampung Cahaya Baru, Masai, Johor mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, lori jenis Hino dipandu mangsa sedang membawa muatan generator elektrik.
Ketika itu, mangsa dilaporkan dalam perjalanan menghala ke Pekan dari arah Segamat.
Pemandu lori maut, lori dipandu terbenam dalam lubang jalan mendap
Namun, ketika tiba di lokasi kejadian, lori berkenaan dipercayai hilang kawalan dan terlanggar penghadang jalan plastik.
Lori itu kemudian terjunam masuk ke dalam lubang jalan mendap.
“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan akibat terbabas sendiri dipercayai pemandu tidak menyedari amaran kawasan lencongan jambatan sementara di lokasi itu,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Ujar Mohd Zaidi, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat. Manakala kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitu sepasukan anggota dari BBP Chini telah dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lapan kilometer dari BBP berkenaan.
“Ketika tiba di lokasi mendapati sebuah lori terjunam ke dalam lubang dan pemandunya tersepit di dalam kenderaan tersebut.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa segera dilakukan menggunakan peralatan menyelamat,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Anggota bomba berjaya mengeluarkan mayat mangsa dan diserahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya.
BACA: Buat Kerja Sekolah Di Bilik Hotel, Lamine Yamal Curi Tumpuan Ramai
Sumber: Sinar Harian