Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Seorang lelaki didakwa mengaku sebagai Rasul ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah premis, semalam.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahizan Ahmad berkata, seorang individu berusia 65 tahun telah ditahan di Rawang, Selangor.
Penahanan itu turut melibatkan tiga lagi individu iaitu dua lelaki dan satu wanita.
Siasatan awal mendapati, individu tersebut mengeluarkan kenyataan kepada pengikutnya bahawa dia telah bertemu Nabi Adam AS secara nyata pada waktu siang.
Dalam masa yang sama, individu berkenaan turut mengakui bertemu Nabi Muhammad SAW dalam bentuk cahaya pada waktu malam.
Pertemuan tersebut didakwa berlaku sebanyak dua hingga tiga kali dalam tempoh seminggu.
"Kejadian ini berlaku antara dua hingga tiga tahun lalu di sebuah taman negara, di negara ini.
"Manakala, pengikutnya menyatakan bahawa bahawa individu tersebut adalah utusan Allah dan segala perlakuannya dianggap oleh pengikut sebagai suruhan Allah seperti tidak perlu solat atau berpuasa jika berasa letih dan uzur," maklum Shahizan.
Menurut beliau, siasatan dan penangkapan dijalankan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berikutan disyaki berlaku upacara atau perbuatan berhubung agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak.
Operasi berkenaan juga dibuat mengikut Seksyen 8 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki mengisytihar diri sebagai Rasul selain mendakwa diri mengetahui perkara yang di luar pemahaman dan pengetahuan manusia.
"Dengan tangkapan ini, JAIS dijangka telah menyelesaikan satu aduan yang mendakwa ada seorang individu mengaku dirinya sebagai Rasul dan telah mempengaruhi keluarganya, yang tular pada 9 Februari lalu," jelas beliau lanjut.
Susulan itu, pihaknya mengarahkan satu pasukan khas dari Ibu Pejabat JAIS untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai perkara berkenaan serta-merta.