Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Osaka Terima Sumbangan Jongkong Emas Bernilai RM14.2 Juta

osaka terima sumbangan jongkong emas
Kredit: The Japan News

Jepun -- Sebanyak 21 kilogram (kg) jongkong emas bernilai kira-kira RM14.2 juta (JPY566.54 juta) disumbangkan kepada Biro Kerja Air Perbandaran Osaka, lapor The Japan News memetik pengumuman rasmi pihak berkuasa tempatan pada Khamis.

Menurut laporan tersebut, penyumbang yang enggan dikenali itu berharap dana berkenaan digunakan bagi menangani isu paip air yang semakin uzur.

Pihak berkuasa tempatan bandar Osaka memaklumkan pihaknya menghormati hasrat penyumbang berkenaan dan akan menggunakan sumbangan tersebut bagi memperbaiki fasiliti perpaipan di sana.

Difahamkan, sumbangan tersebut diterima pada 18 November tahun lalu. Penyumbang berkenaan membuat keputusan untuk menyalurkan dana selepas melihat laporan berita mengenai kebocoran air akibat paip rosak di seluruh negara.

Sementara itu, pihak berkuasa tempatan menganggarkan nilai emas yang disumbangkan itu bersamaan kos penggantian bagi kira-kira dua kilometer paip air biasa.

Datuk Bandar, Hideyuki Yokoyama menyifatkan sumbangan itu amat luar biasa.

"Ia adalah jumlah wang yang luar biasa. Saya hanya mampu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan," ucapnya dalam satu sidang media.

Terdahulu, penyumbang tersebut telah menyumbangkan wang tunai kira-kira RM12,588 (JPY500,000) kepada biro berkenaan, menurut Japan Today.

Menurut laporan, kerja-kerja penggantian paip air di Osaka menghadapi masalah berikutan kos sebenar melebihi bajet yang dirancang.