KULAI, 6 Jan – Seorang lelaki warga Rohingya dilaporkan maut dipercayai ditikam dalam satu kejadian di Jalan Tan Yoke Fong 3, Taman Tan Yoke Fong di sini sekitar pukul 9.14 malam tadi.
Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah, Supt. Tok Beng Yeow berkata, tiga lelaki dan seorang perempuan warga Myanmar berumur lingkungan 20 hingga 45 tahun ditangkap dalam satu serbuan berasingan di sekitar sini kira-kira 11 malam berikutnya.
“Pihak polis turut merampas senjata yang digunakan oleh suspek sewaktu kejadian iaitu sebilah pisau panjang, sepasang pakaian, satu beg pinggang dan dua buah telefon bimbit.
“Siasatan awal mendapati kejadian ini adalah berpunca daripada salah faham keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan, kes berjaya diselesaikan dalam tempoh tiga jam dan kesemua suspek kini direman selama enam hari bermula 6 Jan hari ini sehingga 11 Jan kelak bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek boleh dihukum mati jika disabit kesalahan.

Sumber: Polis Daerah Kulai
