Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lelaki Switzerland Tunai Impian Nanami Bercuti Di Kuantan

Lelaki Switzerland
Kredit: Instagram @velkichrigi

Lelaki Switzerland Tunai Impian Nanami Bercuti Di Kuantan

Dalam dunia anime, sesetengah watak dan latar tempat bukan sahaja menjadi tarikan cerita tetapi turut mencetuskan rasa bangga terhadap lokasi yang disebut atau dijadikan inspirasi.

Ia secara tidak langsung menjadikan sesuatu tempat lebih dikenali, walaupun hanya melalui paparan animasi.

Walaupun bersifat fiksyen, gambaran kehidupan dalam anime sering membuatkan penonton seolah-olah turut berada dalam dunia tersebut, sekali gus membentuk imaginasi tentang gaya hidup di lokasi berkenaan.

Menariknya, ada peminat yang bukan sekadar menonton, tetapi cuba membawa pengalaman itu ke dunia sebenar dengan mengunjungi lokasi atau meniru semula adegan tertentu daripada anime.

"Saya tunggu awak di sini, Nanami...

Baru-baru ini, perkongsian oleh pengguna Instagram @velkichrigi mencuri perhatian ramai apabila dia melakonkan semula adegan daripada siri Jujutsu Kaisen yang melibatkan watak Nanami dan impiannya untuk ke Kuantan, Malaysia.

Perkara itu menjadi bualan ramai kerana jarang sekali nama lokasi di Malaysia muncul dalam anime popular, sekali gus menambah daya tarikan kepada perkongsian tersebut.

Kredit: Instagram @velkichrigi

Dengan kreativiti tersendiri, momen itu berjaya dihidupkan semula dalam dunia sebenar, mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat anime tempatan.

“Saya ke Malaysia dengan tujuan utama untuk melihat Kuantan, tempat yang dipilih oleh Nanami daripada Jujutsu Kaisen sebagai hasrat terakhirnya untuk berada di sana.

"Saya cuba menghidupkan semula adegan ikonik itu dalam dunia sebenar di lokasi ini,” katanya.

Kredit: Instagram @velkichrigi

Dalam adegan tersebut, Nanami membayangkan kehidupan tenang di pantai Kuantan dengan membina rumah kecil di tepi laut, jauh daripada kehidupan sebagai sorcerer yang penuh tekanan.

Dia juga membayangkan masa untuk membaca timbunan buku yang selama ini tidak sempat disentuh, sebagai cara untuk 'mengambil semula masa yang hilang' dan menikmati hidup yang lebih sederhana.

Kredit: Instagram @velkichrigi

Reaksi Netizen

Usaha menghidupkan semula adegan tersebut dalam dunia sebenar bukan sahaja menghiburkan, malah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang teruja melihat seorang peminat sanggup terbang ke Malaysia semata-mata untuk menjejak lokasi yang pernah disebut dalam anime popular itu.

Malah, ada juga yang berseloroh menulis bahawa impian Nanami untuk menikmati kehidupan tenang di Kuantan akhirnya berjaya direalisasikan, walaupun hanya melalui lakonan semula oleh seorang peminat.

“Terima kasih kerana merealisasikan impian suami saya,” seloroh seorang netizen.

“Jangan biarkan Mahito tangkap kamu,” komen seorang lagi warga maya.

“Saya menetap di Kuantan sejak lahir, dan adegan itu benar-benar buat saya sebak,” luah seorang lagi netizen.