Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lembaga Pelancongan Hong Kong Lancarkan Kempen ‘Only In Hong Kong’

PELANCONGAN
Kredit : Hong Kong Tourism Board

Lembaga Pelancongan Hong Kong Lancarkan Kempen ‘Only In Hong Kong’

Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB) melancarkan 'Only in Hong Kong' (只在香港), sebuah kempen global baharu yang mentakrifkan semula cara bandar ini dinikmati sekali gus menonjolkan keunikan Hong Kong sebagai Asia's World City. Melangkaui tarikan visual semata-mata, kempen ini menampilkan Hong Kong sebagai sebuah bandar yang bukan sahaja untuk dilihat, tetapi turut dirasai. Melalui gabungan pemandangan, bunyi-bunyian dan kepelbagaian cita rasa yang menjadi identiti kota ini, 'Only in Hong Kong' menonjolkan jiwa sebenar Hong Kong dengan mengubah detik harian menjadi kenangan sepanjang hayat.

Sebuah Bandar untuk Dilihat. Sebuah Bandar untuk Dirasai.

Kempen 'Only in Hong Kong' mengajak para pelancong menyelami pengalaman sebenar Hong Kong, sebuah destinasi global yang dicirikan oleh kontras yang memukaukan. Daripada kesibukan kota moden kepada keindahan alam semula jadi yang tenang, serta pengalaman menaiki Star Ferry, mendaki menikmati panorama latar langit, mengunjungi Stadium Kai Tak, meneroka kawasan kejiranan tempatan, bermain mahjong, bersantai di pantai-pantai tersembunyi hinggalah menikmati hotel dan bar bertaraf dunia, setiap pengalaman menggambarkan kepelbagaian dimensi Hong Kong. Semua ini merupakan detik-detik istimewa yang hanya boleh dialami di Hong Kong.

Berbeza daripada pendekatan visual yann terlalu sempurna atau bersifat konvensional, kempen ini mengetengahkan suasana sebenar kehidupan di jalanan Hong Kong dengan menampilkan tekstur, warna dan detik-detik autentik yang membentuk identiti unik bandar ini.

Berteraskan Identiti Hong Kong

Kempen 'Only in Hong Kong' dibina berasaskan empat ciri utama yang mencerminkan identiti Hong Kong, iaitu Kepelbagaian, Kemeriahan, Kontras dan Bertaraf Dunia. Keempat-empat elemen ini diterjemahkan menerusi sistem visual yang menampilkan 16 warna berani, diinspirasikan daripada pelbagai ikon dan simbol Hong Kong.

Kredit : Hong Kong Tourism Board
  • Dukling Red – melambangkan keanggunan klasik bot layar tradisional Hong Kong.

  • Red Bean Soup Maroon – menggambarkan kemanisan pencuci mulut yang melengkapkan setiap hidangan.

  • Egg Lamp Red – diinspirasikan daripada lampu pemeriksa telur di pasar tradisional yang menjadi simbol kesegaran.

  • Sago Soup Purple – mewakili pencuci mulut yang menjadi penutup sempurna selepas menikmati kehidupan malam Hong Kong.

  • Bauhinia Pink – diinspirasikan daripada bunga Bauhinia yang menyerikan latar bandar.

  • Kai Tak Stadium Lavender – melambangkan prestasi bertaraf dunia serta masa depan yang cerah.

  • Postbox Green – diinspirasikan daripada peti pos hijau yang mudah ditemui di seluruh bandar.

  • Ding Ding Green – mencerminkan ketahanan sistem tram ikonik Hong Kong yang telah beroperasi lebih 120 tahun.

  • Island Azure – diinspirasikan daripada lebih 1,180 kilometer garis pantai Hong Kong yang memukau.

  • Dolphin Pink – meraikan kelibat lumba-lumba merah jambu yang unik dan jarang ditemui.

  • Salted Egg Yolk – diinspirasikan daripada inti keemasan dalam pelbagai hidangan ikonik Hong Kong.

  • Neon Green – melambangkan tenaga bandar yang sentiasa hidup dan tidak pernah berhenti.

  • Skyline Blue – diinspirasikan daripada langit yang menghiasi bangunan tinggi di sekitar Victoria Harbour.

  • Water Bay Blue – menggambarkan perairan biru yang mengelilingi pelabuhan dan teluk Hong Kong.

  • Panda Black & Panda White – meraikan kegembiraan yang dibawa oleh pasangan anak panda kesayangan Hong Kong.

Identiti Visual Kempen

Di tengah-tengah kempen ini ialah identiti visual yang tersendiri. Logo 'Only in Hong Kong' menggabungkan cahaya neon yang sinonim dengan papan tanda jalanan Hong Kong bersama elemen cop mohor tradisional Cina.

Gabungan ini mencerminkan keseimbangan antara warisan budaya dan tenaga moden yang menjadi identiti bandar tersebut. Di bahagian bawah logo pula tertera slogan Asia's World City, yang menyerlahkan kedudukan Hong Kong sebagai destinasi bertaraf dunia yang mempertemukan budaya Timur dan Barat.

Suara Baharu di Peringkat Global

Dengan gaya penyampaian yang penuh rasa ingin tahu dan ceria, kempen ini mencerminkan personaliti unik Hong Kong yang penuh warna dan dramatik. Menerusi slogan seperti "Here, every day is an event" dan "It's where East meets best", kempen ini menggambarkan bagaimana pengalaman harian yang ringkas di Hong Kong mampu menjadi sesuatu yang luar biasa, sekali gus mengundang pelancong untuk merasai sendiri keistimewaan bandar ini.

Kredit : Hong Kong Tourism Board

Satu Suara untuk Industri Pelancongan Hong Kong

Kempen 'Only in Hong Kong' menyediakan platform bersama untuk seluruh industri pelancongan untuk berkongsi kisah Hong Kong secara lebih yakin dan kreatif.

HKTB turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan industri atas sokongan padu mereka, termasuk penyediaan ruang media dan pelbagai saluran promosi bagi memperluaskan jangkauan kempen ini. Melalui kerjasama erat bersama sektor pelancongan, hospitaliti, makanan dan minuman, peruncitan, penganjuran acara, penerbangan serta pelbagai industri lain, kempen ini dijangka dapat meningkatkan kesedaran global, menarik lebih ramai pelawat, meningkatkan perbelanjaan pelancong serta menggalakkan kunjungan berulang ke Hong Kong.

Pelaksanaan Global di Pasaran Utama

Kredit : Hong Kong Tourism Board

Kempen ini telah dilaksanakan secara berperingkat, bermula menerusi platform digital dan media sosial berimpak tinggi sebelum diperluaskan ke televisyen antarabangsa dan serantau, saluran media tempatan serta pengiklanan luar, merangkumi 22 pasaran sumber pelancong di seluruh dunia bagi memastikan kempen ini hadir dalam pelbagai titik sentuhan pengguna.

Pada masa yang sama, HKTB akan menjemput pempengaruh antarabangsa (KOL), media dari Tanah Besar China serta media luar negara untuk merasai sendiri Hong Kong, sekali gus memperluas jangkauan kempen melalui perkongsian pengalaman yang autentik dan diyakini.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.discoverhongkong.com/eng/only-in-hong-kong.html.

Intipati
  • HKTB melancarkan kempen global ‘Only in Hong Kong’ untuk menonjolkan keunikan bandar itu.
  • Kempen ini berasaskan empat ciri utama, iaitu kepelbagaian, kemeriahan, kontras dan bertaraf dunia.
  • Pelaksanaannya merangkumi platform digital, media sosial, televisyen, media tempatan dan pengiklanan luar.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan